Geram dengan tindakan seorang penunggang motosikal yang didakwa menunjukkan isyarat jari tengah kepadanya, pelakon Nazrief Nazri berkongsikan insiden itu di laman Instagram.
Menerusi video yang dimuat naiknya itu, Nazrief, 31, menceritakan kembali kejadian yang berlaku pada petang Ahad lalu ketika dia berada dalam kereta bersama isteri, Aizatul Aqma Hamdan serta anaknya.
“Sepetang yang menggeramkan, niat saya buat kandungan ini supaya kita hentikan sikap biadap atas jalan raya macam ini.
“Marah macam mana sekali pun cubalah berbincang dengan baik. Kita nak ke generasi akan datang jadi tidak beradab dek kerana sikap kita sendiri?
“Saya hon kereta sekali sebagai isyarat suruh dia jalan. Tapi isteri dia boleh buat muka sambil mengomel sebab saya hon. Jadi saya hon kali kedua sambil angkat tangan sebagai isyarat supaya dia lebih hati-hati sewaktu naik motor dan (memohon) maaf,” tulis Nazrief.
Tidak berpuas hati, lelaki tersebut kemudiannya mengejar kereta pelakon itu sambil menunjukkan isyarat tangan tidak senonoh serta mengetuk cermin kereta Nazrief.
Sebagai langkah selamat, Nazrief menyuruh isterinya mengeluarkan telefon bimbit dan merakamkan situasi tersebut.
“Lelaki itu ketuk cermin kereta saya marah-marah tak puas hati. Memikirkan niat nak bawa anak isteri berjalan di taman, saya rendahkan ego dan minta maaf supaya tak nak keruhkan keadaan.
“Tapi lelaki itu tak puas hati sebab dia nampak isteri tengah rakam dan minta jangan tularkan. Tahu pula takut, ingatkan samseng sangat sampai nak tunjuk jari tengah.
“Takpelah, mungkin emosi dia tak stabil sebab harga ayam nak naik bulan depan. Dia tertekan agaknya,” tulis Nazrief lagi.
Sekadar informasi, Nazrief berkahwin dengan Aizatul Aqma pada 15 November 2019 dan hasil perkahwinan, pasangan itu dikurniakan seorang anak lelaki, Noah yang kini berusia 11 bulan.
Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara, jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik di sini.
Foto: Instagram Nazrief Nazri