“Lepas First Cover Terus Dapat Banyak Offer,” – Azah Aziz Imbas Permulaan Dalam Dunia Seni Menerusi Dewi Remaja

Share

Biar pun sudah lama tidak menceburkan diri dalam dunia seni sejak berhijrah ke luar negara. Nama Azah Aziz tetap menjadi perhatian di Malaysia dek auranya sebagai seorang pelakon yang masih kuat sehingga kini.

Kembali pulang ke tanah air secara tetap setelah 20 tahun merantau ke Kanada, ramai peminat yang menantikan kemunculannya di kaca televisyen. Tidak kurang yang memintanya untuk kembali aktif.

Baru-baru ini dalam satu perkongsian di laman Instagram miliknya. Ibu kepada tiga cahaya mata ini berkongsi kenangan ketika dia mula-mula berjinak sebagai seorang model dan juga pelakon.

Memuat naik dua gambar muka hadapan Majalah Remaja, Azah berkongsi, “Ada peminat hantar gambar ni kepada saya. Ok kita throwback dan simpan di sini buat kenangan.”

Berbicara lebih lanjut mengenai kenangan melakukan penggambaran muka hadapan majalah tersebut, Azah berkongsi yang bermula dari situlah rezekinya sebagai anak seni semakin bertambah.

“Di sinilah bermulanya karier saya sebagai model. Selepas first cover

terus dapat banyak offer sebagai model komersial. Jadi ada sesiapa kenal mana-mana agensi di Kuala lumpur? Saya nak cuba kembali menjadi model komersial, jadi emak-emak pula kan,” kongsinya lagi.

Gambar dua majalah yang dikeluarkan pada tahun 1988 dan 1990 itu mendapat lebih tiga ribu tanda suka dan pelbagai reaksi serta komen daripada peminat.

Ketika muncul sebagai wajah hadapan Majalah Remaja pada 1988 wanita berkulit hitam manis ini baru berusia 16 tahun. Manakala ketika kali kedua menjadi wajah hadapan Majalah Remaja pada tahun 1990 pula sempena dirinya sebagai salah seorang finalis Pencarian Dewi Remaja 1990/91.

*** Kini pencarian Hero Remaja & Dewi Remaja kembali lagi. Terbuka kepada individu berusia 18 ke 25 tahun. Uji bakat bakal bermula pada 26 Ogos ini bertempat di Concorde Hotel Kuala Lumpur. Untuk maklumat lanjut anda boleh layari www.remaja.my/herodewi

 

Published by
Fiezreen