Tahniah diucapkan buat penyanyi asal Singapura, Fuad Rahman dan Tom yang selamat mendirikan rumah tangga pada Ahad.
Pasangan selebriti yang sama-sama menyertai Gegar Vaganza 9 (GV9) itu memilih Batam, Indonesia sebagai lokasi perkahwinan sambil diraikan keluarga terdekat.
Menerusi Insta Stories, Tom atau nama sebenarnya, Raja Farah Afzal Raja Ikram, 36, berkongsi momen bahagia sepanjang majlis raja sehari.
“Semoga urusan kami dipermudahkan hari ini,” tulisnya bersama paparan cincin kahwin mereka.
“Sudah sah (nikah). Lepas ni pegang-pegang dah tak kena marah dah,” kongsi Tom menerusi status Insta Stories lainnya.
Tom pada masa sama menjelaskan ibunya tidak dapat bersama pada hari bahagia mereka, namun bersyukur atas restu yang diberikan.
“My mom tak dapat datang, mak busy. Just video call je. Tak apa, janji restu itu penting. Love you mak,” kongsinya.
Terdahulu media melaporkan, pengurus Tom iaitu Alan mengesahkan berita pernikahan tersebut dan mereka bernikah di negara jiran bagi memudahkan segala urusan perkahwinan dan hanya dihadiri keluarga rapat.
“Mereka dijangka akan mendaftarkan perkahwinan dalam negara selepas pulang dari Batam nanti. Majlis resepsi mereka akan dibuat selepas Aidilfitri nanti,” katanya.
Terdahulu, hubungan akrab Fuad dan Tom bukan rahsia dan menjadi bualan ramai sejak mereka sama-sama menyertai program GV9.
Sebelum ini, Fuad, 43, dikhabarkan pernah berkahwin dua kali, manakala Tom pula tiga kali.
Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara, jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan, klik di sini.