Walaupun keadaan kesihatannya sudah semakin baik selepas dijangkiti Covid-19 pada tahun lalu, namun penyanyi Fazli Zainal kini berhadapan masalah keguguran rambut kronik kesan penggambilan ubat steroid.
Selain keguguran rambut, penyanyi berusia 45 tahun itu juga mengalami masalah kulit kering.
“Alhamdulillah keadaan kesihatan saya bertambah baik. Lebih-lebih lagi sekarang ini kita sedang menjalani ibadah puasa.
“Cuma sekarang saya mengalami masalah keguguran rambut kronik sehingga beberapa bahagian kepada menjadi botak selain masalah kulit kering. Puncanya disebabkan kesan daripada pengambilan steroid.
“Pernafasan okey dan semakin baik walaupun 75 peratus paru-paru saya telah rosak. Doktor sarankan saya untuk amalkan senaman ringan untuk melatih paru-paru,” katanya kepada Media Hiburan.
Fazli ditemui pada majlis sidang media Ad Hoc Raya yang diadakan di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) baru -baru ini.
Walaupun sudah memasuki fasa peralihan endemik, penyanyi lagu Harapan ini mengharapkan rakyat Malaysia akan terus kekal menjaga prosedur operasi standard (SOP) bagi mengekang penularan Covid-19.
“Walaupun kita sekarang dalam peralihan ke fasa endemik, orang ramai masih perlu berhati-hati kerana Covid-19 masih ada. Saya bersyukur diberi peluang hidup kedua,” katanya.
Terdahulu, Fazli pernah dikejarkan ke Hospital Ampang selepas paras oksigennya menurun ke 75 peratus pada Ogos tahun lalu.
Dia menerima menerima rawatan di hospital tersebut selama 29 hari.
Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara, jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik di sini.
Foto: Instagram Fazli Zainal