Penyanyi, Amir Jahari berpendapat para ibu bapa perlu lebih mendalami ilmu berkaitan keibubapaan demi mengharungi zaman yang sangat mencabar dalam mendidik anak-anak.
Ia susulan selepas ramai golongan remaja semasa yang gemar membuat keputusan sendiri sehingga ada yang bertindak keterlaluan sehingga meragut nyawa dek kerana tekanan daripada sekeliling.
Menurut Amir, antara faktor yang mendorang masalah ini adalah disebabkan kurang ilmu agama.
“Situasi ini sangat bahaya buat generasi baharu. Zaman ini, agama Islam itu hanya sekadar di kad pengenalan sahaja. Belajar di sekolah pun hanya sekadar ilmu pengetahuan tapi tidak amalkan.
“Perkara ini sudah menjadi kerisauan sejak zaman dahulu lagi. Pada saya, hal ini harus berbalik kepada ibu bapa.
“Anak-anak akan ikut sikap ibu tidak kira anak lelaki atau perempuan. Jika ibu mereka okay, in sha Allah anak juga okay. Ibu bapa harus punyai ilmu untuk mendidik anak-anak,” katanya kepada MH.
Penyanyi lagu Hasrat itu berkata sedemikian ketika ditemui di majlis pelancaran album ‘Kembali’ di The Flint, Mutiara Damansara pada Rabu.
Katanya lagi, kurang komunikasi dan tekanan tinggi yang diletakkan sejak usia muda membuatkan anak-anak berasa sangat penat untuk menjalani kehidupan.
“Ketika saya di sekolah rendah sehingga sekolah menengah, saya banyak menghafal tapi tak faham pun ilmu tersebut. Malah, saya juga tidak mahu ambil tahu. Pada saya sistem seperti itu ada masalah.
“Itu yang membuatkan anak-anak cuba mencari pintu keluar daripada situasi tersebut. Sehingga ada yang menghilangkan diri.
“Ibu bapa pula letakkan ekspektasi yang tinggi buat anak-anak. Disebabkan itu, mereka jadi lemas. Bila ibu bapa tak tahu cara nak berborak dengan anak, mereka mencari orang lain,” ujarnya.
Pada masa sama, Amir turut merasakan masalah kesihatan mental ini kerap berlaku disebabkan pengunaan media sosial tanpa kawalan.
“Pada saya, masalah kesihatan mental cenderung berlaku disebabkan media sosial. Bila anak-anak membesar, mereka perlukan perhatian.
“Namun, bila ibu bapa hanya tekankan soal pelajaran setiap masa, mereka tiada perhatian itu. Mental mereka menjadi lemah.
“Bila umur sudah mencecah 17 tahun, baru mereka akan tunjuk bahawa masalah kesihatan mental ini ada,” kongsinya lalu.
Lantaran itu, Amir yang sebelum ini pernah berdepan masalah kesihatan mental menggesa orang ramai untuk berjumpa dengan pakar bagi mendapatkan bantuan.
“Jika ada anak-anak diluar sana yang mempersoalkan tentang kehidupan dan rasa pelik dengan diri sendiri, silah hubungi NGO seperti Befrinders dan MIASA atau pergi sahaja ke hospital.
“Minta pertolongan daripada golongan professional. Anda tidak akan jumpa jawapan di media sosial. Kita hanya boleh mengenal pasti masalah bila jumpa pakar psikatri.
“Mereka yang faham tentang psikologi dan tahu cara mengawalnya,” akhirinya.
Terdahulu, Amir telah pun melancarkan album ketiganya yang berjudul ‘Kembali’.
Album ini mengandungi 15 buah lagu seperti Belansungkawa, Ingin Pulang, Kenangan dan Hasrat AJL 38.
Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik di sini.