Berita

Liku-Liku Kehidupan Kisah Pekerja Cari Rezeki Dalam Longgokan Sampah

Share

Syarikat produksi Studio Screen tampil menerbitkan sebuah filem aksi berjudul Pungut yang diarahkan oleh Areel Abu Bakar yang sebelum ini sinonim menerusi naskhah Geran dan Walid.

Penerbitnya, Datuk Saifulhaq Anani berkata, Pungut adalah sebuah filem yang memaparkan hakikat yang berlaku dalam masyarakat masa kini.

“Ia mencerminkan tentang kuasa, kedudukan serta kepayahan masyarakat dalam mengharungi liku-liku kehidupan yang terlalu sukar demi mencari sesuap nasi.

“Jadi, naratif ini diolah dengan situasi yang berlaku sekarang ini dengan dijadikan sebuah kisah memaparkan kehidupan pekerja mencari rezeki sebagai pemungut sampah,” katanya.

Saifulhaq menambah, pemilihan Areel sebagai pengarah sebagai tepat dengan konsep cerita yang ingin disampaikan pihaknya.

Malah Pungut juga memberikan kelainan tersendiri kerana ia bukan sekadar filem aksi semata-mata, tetapi akan membuka mata penonton untuk menilai sendiri konsep naratif dalam filem ini.

Sementara itu, bagi Areel tajuk tersebut dipilih kerana naskhah filem berkenaan itu sendiri berkisar tentang sekumpulan pekerja yang bekerja di pusat pelupusan sampah.

“Sebenarnya saya suka menghasilkan filem yang menjurus kepada kisah-kisah realiti yang sangat dekat dengan masyarakat seperti dua filem saya sebelum ini.

“Untuk kali ini, saya angkat kisah kehidupan tentang pekerja pemungut sampah yang berhadapan dengan pelbagai dugaan dalam pekerjaan mereka, namun turut diperkuatkan lagi dengan babak-babak aksi pergaduhan,” katanya.

Ia pada masa sama turut menampilkan kelainan tersendiri, terutama sekali dari segi sudut penceritaan yang pastinya jarang diangkat dalam mana-mana filem aksi yang pernah dihasilkan.

“Pada saya, kisah dalam filem Pungut adalah sebuah cerita rakyat yang agak ‘terpencil’, misalnya dengan menjadikan kisah pekerja pemungut sampah ini sebagai premis utama.

“Di sebaliknya, filem ini boleh dikatakan sebagai ‘simbolik’ kepada kerosakkan sistem yang ada dalam sesebuah organisasi setempat dan itu yang saya cuba sampaikan dalam bentuk filem,” katanya lagi.

Berkongsi mengenai cabaran, Areel menjelaskan penggambaran dilakukan di tempat pelupusan sampah sebenar dan pastinya ia mengundang risiko dengan persekitaran yang tidak sihat.

“Itu antara cabaran utama, namun semuanya berjalan lancar. Apapun yang lebih penting

saya ingin penonton lihat sendiri tentang kehidupan pekerja pemungut sampah ini mencari rezeki untuk meneruskan kehidupan.

“Mungkin ada segelintir yang memandang jijik pekerjaan sebegitu, namun cuba bayangkan

pula jika tiada orang yang sanggup melakukan kerja-kerja sedemikian,” jelasnya.

Filem Pungut akan mula ditayangkan di pawagam seluruh negara mulai hari ini.

Ia mengisahkan tentang Salleh yang tinggal di sebuah perkampungan setinggan berhampiran dengan sebuah kawasan pelupusan sampah.

Sejak tinggal di situ, Salleh tenang menjalani kehidupan walaupun ada beberapa orang penduduk asal di situ yang melakukan aktiviti tidak bermoral seperti judi, mabuk dan pemerasan.

Pungut dibarisi pelakon seperti Ruzaidi Abdul Rahman, Aman Graseka, Fad Anuar, Aliff Yasraff dan ramai lagi.

Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik di sini.

Published by
MH