Tak sampai tempoh 24 jam sejak ia mula dimuat naik di laman YouTube, muzik video single terbaharu penyanyi terkenal Korea Selatan, Psy berjudul That That pantas meraih hampir 30 juta tontonan.
That That merupakan single terbaharu Psy atau nama sebenarnya, Park Jae Sang, 45, di mana dia berkolaborasi bersama ahli kumpulan BTS, Suga yang juga bertindak selaku penerbit serta pencipta lagu tersebut.
Malah MV lagu tersebut menjadi trending di seluruh dunia yang mana rata-rata netizen mereka merindui sentuhan terbaharu Psy selepas lagu fenomenanya, Gangnam Style yang pernah mengegarkan industri hiburan pada tahun 2012.
Ini merupakan single pertama Psy selepas hampir lima tahun merehatkan diri dalam industri.
Bercerita lanjut mengenai kolaborasi tersebut, Psy berkata Suga atau nama sebenarnya Min Yoongi, 29, ada mendekatinya tahun lalu dan memberikannya demo lagu yang dirasakan sangat bagus untuk diterbitkan.
“Suga ada datang beritahu dia ada buat lagu baharu dan bila saya dengar, melodinya memang sangat bagus.
“Bila saya tengok dia (Suga), saya menjadi lebih terinspirasi,” katanya.
Sementara itu, Suga berkata dia tidak menjangkakan akan turut menyanyi lagu tersebut sehingga kemunculannya dalam karya berkenaan turut disambut baik seluruh fandom BTS yang digelar Army.
“Secara jujurnya, saya tidak pernah semesra ini dengan mana-mana artis yang pernah saya buatkan lagu untuk mereka… sebab saya tidak akan berjumpa mereka secara berdepan.
“Tapi lain halnya dengan Psy, dia yang mahu berjumpa dengan saya terlebih dahulu.
“Saya pun tak jangka akan menari bersama Psy dalam muzik video tersebut… saya ingat saya hanya menulis melodi dan lirik lagu itu sahaja,” kata Suga.
Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara, jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik di sini.
Foto: Instagram Psy, Suga