Tahniah diucapkan buat selebriti media sosial, Syifa Melvin dan pemain Johor Darul Ta’zim (JDT) Safawi Rasid yang telah selamat diijab kabulkan pada tanggal 28 November lalu dengan sekali lafaz.
Pada majlis yang berlangsung di sebuah hotel terkemuka, di sini, pasangan terbabit dinikahkan jurunikah, Ustaz Khairil Nizam dan disaksikan bapa pengantin perempuan iaitu Amirol Melvin.
Majlis dihadiri lebih 300 tetamu yang terdiri daripada keluarga terdekat dan kenalan rapat.
Dalam pada itu, salah satu perkara yang mencuri tumpuan pastinya persalinan yang dikenakan Syifa pada hari bahagianya.
Syifa anggun menyarung persalinan khas hasil sentuhan magis pereka fesyen terkenal AMAZÉ yang memiliki pengalaman luas dalam menyiapkan busana hari bahagia buat para selebriti terkenal tanah air seperti Adam Lee dan Sweet Qismina serta Syamel dan Ernie Zakrie.
Menerusi perkongsian di Instagram, wakil AMAZÉ berkongsi mengenai rekaan gaun moden namun masih terlihat tertib dan sopan itu.
“Lady boss empayar KEKASIH, @syifamelvin tampil berseri dalam persalinan gaun potongan A-line beserta cape labuh meleret. Diolah dalam versi high neck, sajak dipakai Syifa yang berleher jinjang,” tulisnya.
Selain digayakan dengan cape, persalinan yang tampak mewah ini sememangnya menarik perhatian para wanita kerana ia turut diserikan lagi dengan lingkaran permata daripada Swarovski.
“Memukau pandangan dalam rona perang ‘sand’, dalam balutan renda sarat manikam abstrak juga lingkaran permata Swarovski. Layah penuh biasan permata melengkapi gaya mempelai ini,” kongsinya lagi.
Wakil AMAZÉ turut menambah, pihaknya juga amat teruja apabila dapat bekerjasama dengan barisan ‘glam team’ berpengalaman yang bertungkus lumus menjadikan penampilan Syifa pada malam tersebut sangat luar biasa.
“‘Glam team’nya juga bukan biasa-biasa. Rias wajah ala Timur Tengah kombinasi sentuhan @bellahudd dan @iansham, dan begaan hijab berseni oleh @_ekajamaludin. Henna dari @anna.bakry,” kongsinya lagi.
Terdahulu, dalam majlis berkenaan, Safawi atau nama sebenarnya Muhammad Safawi Rasid juga menyerahkan mas kahwin sebentuk cincin manakala wang hantaran dirahsiakan.
Bayangan perkahwinan pasangan itu diperkuatkan lagi dengan penularan kad undangan perkahwinan bertarikh 3 Disember 2022 yang dipercayai milik Syifa dan Safawi.
Apapun, MH ingin mengambil kesempatan ini untuk menitipkan ucapan semoga banhtera rumah tangga yang dibina Syifa dan Safawi akan berkekalan hingga ke syurga.
Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik di sini.
Sumber & Kredit Foto: Instagram Syifa Melvin dan AMAZÉ