“Tidak Meminta Lebih Tetapi Izinkan Aku…,” – Amelina

Share

Jarang-jarang sekali berkongsi luahan perasaan, penyanyi dangdut Amelina baru-baru ini ada memuat naik satu kapsyen yang membicarakan tentang isi hatinya selama ini.

Menerusi laman Instagram, Amelina atau nama sebenar Norazlina Amir Sharipuddin, 48, dia sudah melalui pelbagai dugaan dan cabaran sepanjang melalui perjalanan hidupnya.

“Dalam kisah hidupku, aku telah banyak melalui dugaan, penderitaan, kesakitan serta pernah berkali-kali kalah dan salah dalam menempuhi perjalanan kehidupan.

“Disakiti sesuatu yang amat berat ditanggung, hanya yang tersakiti yang akan memahami… dari itu cubalah untuk tidak menyakiti,” tulisnya dalam ruangan kapsyen.

Ibu tunggal kepada enam orang cahaya mata itu juga meminta agar dirinya diberikan rasa kebahagiaan serta diberikan kekuatan dalam menjalani kehidupannya kini.

“Aku tidak meminta lebih tetapi izinkan aku merasa kebahagiaan walaupun sekelumit di sepanjang menempuh takdirku.

“Doakan aku terus kuat demi meneruskan perjuangan untuk segala yang aku perjuangkan,” tulisnya lagi.

Sekadar info, Amelina yang popular dengan lagu Asyik ini pernah mendirikan rumah tangga dengan seorang ahli perniagaan, Reduan Mahamood pada 26 April 1999 namun disahkan bercerai pada 29 Jun 2016.

Hasil perkahwinan, Amelina dikurniakan enam cahaya mata iaitu Puteri Nur Athirah, 21, Putera Al Affiq, 20, Putera Al Asyraff, 19, Puteri Nur Asyurah, 17, Putera Al Arffa, 15, dan Putera Al Amzar, 13 tahun.

Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara, jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik di sini.

Foto:  Instagram Amelina

Published by
Juliana Johar