Isteri kepada pelawak, Shahrol Shiro, Anna Danisha mendedahkan dirinya tetap reda dan menerima segala ketentuan Illahi selepas pihak doktor mengesahkan anak kedua mereka, Ismail Rifqi hanya memiliki satu buah pinggang.
Menurut Anna, anaknya itu kini terpaksa bergantung harap sepenuhnya pada buah pinggang sebelah kiri.
Bagaimanapun, kondisi buah pinggang anaknya itu dikatakan tidak berapa baik dan terpaksa menjalani rawatan segera selepas doktor mendapati ada bahagian yang bengkak pada organnya itu.
Lantaran itu, Anna memohon jasa baik semua pihak untuk sama-sama mendoakan agar anaknya itu dapat segera sembuh daripada penyakit berkenaan.
“Assalammualaikum. Anna mohon jasa baik dari kalian untuk mendoakan kesihatan anak Anna. Doakan semoga Ismail cepat sihat dan dipermudahkan segala urusan kami. Mana tahu atas sebab doa kalian ALLAH angkat dan makbulkan doa kalian untuk anak Anna.
“Doctor dapati buah pinggang Ismail belah kanan tiada. Manakala buah pinggang Ismail sebelah kiri bengkak. Ismail kene dapatkan rawatan secepat mungkin memandangkan Ismail hanya ada satu buah pinggang dan buah pinggang yang ada pun bengkak,” tulisnya.
Kisah tersebut dikongsikan oleh ibu kepada dua orang cahaya mata itu menerusi sebuah hantaran yang dimuat naik di laman Instagram.
Katanya lagi, hatinya juga berasa amat luluh bila setiap kali melihat anaknya itu terpaksa menanggung sakit yang berat pada usia semuda itu.
“Anna mohon atas jasa baik kalian, doakan lah untuk anak Anna. Selitkan nama anak Anna dalam setiap solat dan doa kalian. Semoga ALLAH balas semua jasa baik kalian.
“Doakan Anna kuat. Luluh hati Anna bila tengok Ismail sakit. Sayu bila pandang muka Ismail. ALLAH. Ya ALLAH,” luahnya lagi.
Melihat di ruangan komen, rata-rata netizen dan rakan artis turut menzahirkan rasa duka cita selain turut memberikan semangat buat Anna dan seluruh ahli keluarganya.
“Semoga diberikan syifa buat Ismail.
“Semoga dipermudahkan urusan Anna sekeluarga. Semoga baby cepat sembuh.
“Allahuakbar, kesiannya Ismail. Semoga Ismail lekas sembuh dan dipermudahkan segala urusan.
“Semoga Anna terus kuat,” antara reaksi-reaksi netizen di laman Instagram.
Sekadar informasi, Shahrol dan Anna bernikah pada 18 Mac 2016 dan dikurniakan dua anak lelaki iaitu Iskandar Rizqi pada dan Ismail Rifqi.
Sumber: Instagram Anna Danisha