Satu perkongsian di Instagram Yasin Sulaiman yang dikendali oleh ahli keluarga anggota kumpulan Brothers itu mencuri perhatian netizen.
Menerusi entri tersebut, sebuah lagu berjudul Tangisan Malaikat difahamkan telah dicipta khas untuk anak perempuan Yasin, Malaika.
“Lagu ini terhasil rentetan daripada tangisan Malaika sebaik sahaja mendengar suara ayahnya buat pertama kali di telefon selepas dia ditahan,” kapsyen yang tertulis pada hantaran tersebut.
Antara bait lirik Tangisan Malaikat itu menyatakan, Yasin meminta maaf pada anaknya kerana menghilang.
Lagu itu turut memberi bayangan bahawa Yasin dikhianati seseorang yang dikenali disebabkan melakukan kesilapan.
Pun begitu, penyanyi Mimpi Laila itu tidak menjelaskan menjelaskan secara terperinci siapa individu yang dimaksudkannya itu.
Turut dikongsikan adalah kredit hasil ciptaan lagu tersebut yang melodinya tertera nama Yasin dan Jo Tan.
Terdahulu, Yasin didakwa di Mahkamah Majistret pada 31 Mac lalu atas pertuduhan mengedar dadah jenis ganja di sebuah kondominium di Kota Damansara, Selangor.
Yasin, 47, juga didakwa atas pertuduhan menanam 17 pokok yang dipercayai ganja.
Sebutan semula kes ini dijadualkan berlangsung pada 6 Julai depan.
Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara, jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik di sini.
Foto: Instagram Yasin Sulaiman