Bersempena sambutan Maal Hijrah 1446H esok ( 7 Julai), sebuah acara perhimpunan istimewa dipanggil Malam Ehsan Untuk Insan dianjurkan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) di Dataran Karnival, perkarangan Stadium Shah Alam.
Menerusi keterangan pihak penganjur, acara bertemakan Gaza Bangkit yang turut mendapat kerjasama Kerajaan Negeri Selangor itu dijangka bakal dibanjiri lebih 60,000 umat Islam bermula dari jam 6 petang hingga ke tengah malam.
Menyemarakkan lagi kecintaan kepada Baginda Rasulullah SAW termasuk kemelut yang masih berterusan di Gaza, Palestin, pelbagai aturcara pengisian kerohanian dirancang termasuk ceramah pendakwah nusantara, Abdul Somad Batubara.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif MAPIM, Sani Araby Al – Kahery, acara dengan kemasukan percuma itu disifatkan sebagai wadah untuk mengenang peristiwa penting dalam kalendar Islam.
“Tentunya juga acara ini sebagai tanda solidariti berterusan kita buat masyarakat di Palestin.
“Tuntas acara juga sebagai kesatuan hati dan juga kebersamaan Ummah dalam mendepani pelbagai mehnah yakni ujian dan cabaran Allah untuk manusia.
“Ehsan dizaman ini sangat diperlukan oleh setiap Insan. Kasih sayang yang diajarkan Baginda Rasulullah SAW terbaik dijadikan panduan sepanjang zaman untuk kita hidup santun dan diredhai,” kata Sani Araby.
Tambah Sani Araby lagi, orang ramai yang bakal hadir digalakkan memakai pakain bertemakan #GazaBangkit.
“Kemasukan percuma. Jika boleh bawalah tikar dan payung untuk keselesaan selain sempurnakan solat sebelum majlis.
“Justeru ini juga adalah panggilan khas untuk semua pencinta keamanan dan Palestina untuk hadir beramai-ramai bagi menzahirkan sokongan dan bulatkan tekad perjuangan kita dari kejauhan.
“Marilah kita bersama berhimpun memeriahkan acara sambutan Maal Hijrah ini dengan pengisian ‘Recharge Hati, sekali gus mendengar tausiyah bermakna sebagai tanda solidariti bersama untuk saudara kita di sana,” katanya.
Sani Araby berkata lagi program ini juga akan disemarakkan dengan pelbagai aktiviti termasuk berselawat bersama kumpulan qasidah terkenal, Angham Anisah dan bacaan doa akhir tahun 1445 Hijrah dan doa awal tahun 1446 Hijrah.
Program ini juga diharap dapat memupuk rasa kesatuan dan perpaduan dalam kalangan masyarakat Islam di Malaysia.
Untuk rekod, kerajaan memilih Al-Falah Pemacu Malaysia Madani sebagai tema sambutan Maal Hijrah kali ini.
Tema ini adalah manifestasi dari intipati ajaran Rasulullah SAW dan ia merupakan satu tema yang sangat signifikan bagi memacu umat di negara ini ke arah kejayaan yang hakiki dunia dan akhirat.
Untuk terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan, klik di sini