Macam-Macam Ada Di Karnival Jualan Kempen Beli Barangan Malaysia, Jom Pakat Serbu Dataran Cenang November Ini!

Share

Seperti yang kita semua tahu, kerajaan ketika ini sedang giat berusaha memulihkan semula sektor ekonomi negara pasca pandemik Covid-19.

Lalu, kesemua sektor ekonomi sudah pun mula beroperasi secara berperingkat setelah hampir beberapa bulan begerak secara perlahan akibat perlaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Kerajaan menerusi Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna bakal meneruskan lagi kempen Beli Barangan Malaysia bagi tahun 2021.

Sebagai negara membangun, Malaysia sebenarnya telah pun banyak menghasilkan dan mengeluarkan pelbagai barangan serta produk sendiri. Kemunculan Covid-19 seharusnya membuka mata semua pihak di negara ini untuk mengutamakan produk tempatan.

Memasuki dekad baru ini, pengguna juga perlu membuang ego dan mengikis persepsi bahawa produk import lebih baik daripada barangan tempatan.

Barangan tempatan kini merangkumi pelbagai jenis produk daripada makanan, pakaian, barangan elektrik, hasil kraf tangan dan banyak lagi.

Tahukah anda, kebanyakan produk ini telah pun mematuhi standard atau piawaian SIRIM sebagai bukti produk mereka sememangnya bermutu tinggi.

Dengan menunjukkan sokongan terhadap barangan tempatan, kita secara tidak langsung dapat membantu para perusahaan kecil dan sederhana (PKS).

Jadi jom sama-sama meriahkan Karnival Jualan Kempen Beli Barangan Malaysia yang akan diadakan di Dataran Cenang, Pulau Langkawi pada 11 sehingga 14 November ini.

Karnival yang bakal dirasmikan oleh Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, YB Dato’ Rosol Bin Wahid dan khabarnya, pelbagai produk dan barangan Malaysia akan ditawarkan pada harga yang sangat berpatutan.

Malah, promosi besar-besaran juga akan jadi daya penarik buat semua yang mengunjung.

Lebih menarik, terdapat juga beberapa pameran dan demonstrasi bagi penghasilan produk-produk tempatan ini. Pendek kata, pelbagai aktiviti menarik yang anda boleh cuba di sana selain daripada membeli belah.

Pelbagai peraduan istimewa yang boleh anda sertai. Siapa tahu andalah pemenang bertuah itu nanti.

Jangan lepaskan peluang untuk sama-sama memeriahkan dan menerokai produk tempatan. Cintailah produk dan barangan tempatan. Kalau bukan kita, siapa lagi? Memang kenalah dengan slogannya, #BarangBaik, BarangKita.

Published by
Aizam Manaf