“Macam Ni Nak Jadi Artis, Badan Ketot,” – Bell Ngasri Cerita Susah Payah Jadi Anak Seni

Share

Dinobatkan selaku Bintang Paling Popular, Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) Ke-35, pelakon, Bell Ngasri menyifatkan kemenangannya itu sebagai sebagai rezeki yang tidak ternilai daripada Allah SWT.

Menurut Bell atau nama sebenarnya, Nasrizal Ngasri, sepanjang bergelar anak seni selama hampir 37 tahun, populariti bukan matlamat yang dikejar.

“Alhamdulillah, impian ibu saya yang mahu saya menjadi pelakon dan saya hadiahkan pula dengan trofi ini. Saya tak pernah terfikir nak menjadi bintang paling popular.

“Macam saya pernah katakan sebelum ini, popular ini bukan satu perkara yang saya perlukan. Mungkin akhirnya Allah SWT nak tunjukkan kepada saya macam mana rasanya menjadi popular,” katanya kepada MH.

Pelakon drama 16 Puasa ini berkata sedemikian ketika ditemui media selepas selesai malam kemuncak ABPBH35 yang berlangsung di Istana Budaya pada Jumaat.

Sementara itu, Bell juga mahu kemenangannya itu menjadi inspirasi buat para anak seni yang berusaha untuk menempa nama tetapi kurang diberikan perhatian.

“Pada pertengahan kerjaya saya sebagai pelakon, saya pernah ditegur pengarah ‘Macam ni ke nak jadi artis? Badan ketot’. Ini cerita betul dan bukan rekaan. Pengarah tersebut pun ada di majlis ini.

“Kalau anda yang terkena sebegitu, macam mana perasaan anda? Sudah semestinya ia melunturkan semangat kita. Namun, ini merupakan satu bukti buat mereka yang senasib dengan saya untuk terus berkarya dengan ikhlas,” ujarnya lagi.

Jelas Bell lagi, meskipun namanya kurang diberikan perhatian sebelum ini, namun dia tiada masalah untuk mengangkat artis-artis lain walaupun dari kalangan pendatang baharu.

“Saya selalu berdiri dengan hero-hero hebat dan pelakon-pelakon baharu. Walaupun orang tak peduli keberadaan saya, saya tak pernah simpan apa-apa perasaan.

“Malah, saya lebih seronok dan teruja untuk menaikkan artis-artis lain. Kalau saya ini artis jenis yang dengki dan suka buat khianat, dari kecil saya dah buat begitu. Saya boleh dengki dengan artis sejak sezaman dengan saya.

“Demi Allah, tiada satu perasaan dengki dalam hidup saya. Mungkin disebabkan itu Allah kurniakan saya kawan-kawan yang turut sama nak menaikkan saya,” kongsinya lagi.

Dalam pada itu, abang kepada pelakon Darling Ngasri dan Anne Ngasri ini juga memaklumkan dirinya sering berdepan pelbagai cabaran yang jarang dikongsikannya sepanjang bergelar anak seni.

“Ada satu fasa anda akan berasa penat. Saya ada dengar fasal artis baharu yang baru selesai satu tawaran tapi dia malas nak menerima tawaran seterusnya.

“Saya ini, hari saya berkahwin pun saya bekerja. Kalau isteri orang lain mungkin dah makan penampar. Malah, saya juga sudah beberapa kali kemalangan ketika nak ke tempat kerja tapi saya tak pernah cerita.

“Saya pernah berkerja di Astro dalam keadaan berdarah-darah untuk buat voice over. Bayaran berapa sangat la pun tapi itu pengorbanan,” akhirinya.

Terdahulu, Bell berjaya mengetepikan peserta-pesert favourite lain seperti Anna Jobling, Aina Abdul, Meerqeen dan Khai Bahar

Pada malam yang penuh gilang-gemilang itu, Bell turut dinobatkan selaku Artis Komedi Popular

Kemenangan tersebut membolehkan Bell membawa pulang trofi dan hadiah berupa pakej umrah.

Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik di sini.

Published by
Aizam Manaf