Permohonan ikat jamin anak sulung Shah Rukh Khan telah dinafikan oleh mahkamah Khas Mumbai hari ini. Aryan Khan yang kini ditahan di Penjara Arthur Road atas kesalahan penyalahgunaan dadah mungkin akan menyambut cuti umum Deepavali di sebalik tirai besi.
Ini kerana pihak mahkamah akan bercuti sepanjang awal November bagi sambutan perayaan terbesar yang disambut rakyat India itu.
Penolakan permohonan ikat jamin ini dilihat sebagai satu indikasi yang pihak berkuasa India mengambil serius hal tersebut dalam usaha mematahkan sindiket dadah yang berleluasa.
BACA JUGA: Anak Shah Rukh Khan Antara 8 Ditahan Dalam Kes Penyalahgunaan Dadah
Walaupun begitu, peguam yang mewakili Aryan, Satish Maneshinde dan Amie Desai akan membawa permohonan ikat jamin tersebut ke Mahkamah Tinggi Mumbai. Kedua-dua mereka teguh dengan hujah yang tiada sebarang dadah berada dalam simpanan Aryan ketika serbuan dilakukan pihak Biro Kawalan Narkotik India (NCB) di atas kapal persiaran yang dinaiki jejaka berusia 23 tahun itu di pantai Mumbai.
Dalam satu dokumen yang dilaporkan oleh India Today, dinyatakan bahawa ini bukanlah kali pertama Aryan terlibat dengan penggunaan dadah terlarang.
“Ada banyak bukti dalam bentuk perbualan WhatsApp tertuduh no. 1 (Aryan Khan) dengan warga negara asing dan orang yang tidak dikenali yang berurusan dengan dadah. Terdapat rujukan dadah keras dan jumlah besar dalam perbualan WhatsApp yang tidak dapat digunakan untuk dimakan, dengan orang yang tidak dikenali yang disyaki menjadi sebahagian daripada sindiket dadah antarabangsa, “kata perintah mahkamah itu.
Anak bintang Bollywood terkenal ini ditangkap oleh pihak NCB pada 3 Oktober lalu bersama tujuh tertuduh yang lain.
Untuk pengetahuan para pembaca. Shah Rukh Khan dan isterinya, Gauri, berkahwin berlainan agama. Anak-anak mereka didedahkan dengan ajaran Islam dan Hindu serentak dan mereka menghormati serta menyambut perayaan kedua-dua agama.