Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menolak rayuan pelawak, Ali Puteh berhubung bayaran ganti rugi saman fitnah terhadap kakak iparnya, Siti Norhidayah Mohd Ali.
Ali atau nama sebenar, Syed Ali Mubarak Syed Mohd Ridzuan serta tiga ahli keluarganya diperintah membayar RM60,000 kepada balu Allahyarham Abam Bocey itu oleh Mahkamah Sesyen pada 18 Februari lalu susulan mengeluarkan kata-kata mengaibkan terhadap wanita tersebut di laman Instagram miliknya pada dua tahun lalu.
Memetik Harian Metro, Pesuruhjaya Kehakiman Datuk Ahmad Shahrir Mohd Salleh turut menolak rayuan Ali Puteh dan tiga ahli keluarganya untuk mengetepikan keputusan Mahkamah Sesyen yang menolak tuntutan saman mereka terhadap Norhidayah dan usahawan kosmetik, Datuk Seri Aliff Syukri Kamarzaman.
Saman itu berkaitan temu bual yang disiarkan secara langsung menerusi akaun YouTube Aliff Syukri.
Kontroversi bermula apabila Norhidayah memfailkan saman keseluruhan berjumlah RM900,000 terhadap Ali Puteh sekeluarga, antara lain menuduh bekas adik iparnya itu mengambil harta Abam dan harta anak yatim.
Dia juga memfailkan tuntutan faraid, tuntutan hak penjagaan anak, tuntutan kereta dan sebagainya.
Pada 27 Ogos 2020, Ali memfailkan saman fitnah terhadap Norhidayah dan Aliff Syukri.
Allahyarham Abam atau nama sebenarnya Syed Umar Mokhtar yang juga abang Ali Puteh meninggal dunia pada 10 Februari 2020 akibat demam panas.
Norhidayah dan Abam mendirikan rumah tangga pada 8 Disember 2017.
Pasangan itu dikurniakan seorang cahaya mata lelaki, Syed Uthman Hamzah Al-Juffrey yang kini berusia tiga tahun.
Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara, jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik di sini.
Download aplikasi seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI