Pelakon yang juga anggota kumpulan De Fam, Azira Shafinaz mengakui kembali menjalin cinta dengan bekas kekasihnya, Yasser Khan selepas enam bulan berpisah.
Merakamkan rasa syukur, Azira seperti yang dipetik BH Online menjelaskan, dia mengambil keputusan untuk kembali ke pangkuan kekasih lamanya Ramadan lalu kerana lelaki berkenaan dikatakan memiliki segala kriteria dicari.
“Kami putus dahulu bukan disebabkan orang ketiga atau kerana curang, cuma mungkin Allah mahu menguji keteguhan cinta kami.
“Bohong jika kami pernah tidak bergaduh atau bermasam muka, lebih lagi hubungan kami sudah berlanjutan hampir enam tahun. Ada ketika, perkara yang kecil boleh menjadi isu besar.
“Kami perlukan tempoh untuk bertenang dan muhasabah diri. Keputusan itu memberi kami ruang untuk berfikir semasak-masaknya, sama ada mahu mengakhiri atau memperbaiki hubungan yang berantakan,” katanya seperti yang dipetik.
Azira turut berkongsi, lelaki asal Sarawak itu juga seorang yang memahami, malah tidak cemburu buta dengan kehidupan Azira sebagai selebriti.
“Paling utama, dia mementingkan agama. Dia selalu menekankan mengenai solat dan mampu membimbing saya ke arah kebaikan.
“Saya selalu memberitahu rakan, saya mahukan ‘imam’ yang dapat membimbing, bukan lelaki yang hanya memandang kesempurnaan luaran, tetapi gagal membentuk saya.
“Tidak pernah saya temui lelaki yang ikhlas menyayangi saya seperti Yasser. Biarpun hubungan kami pernah diuji dengan perpisahan, Yasser tidak berputus asa memujuk dan memperbaiki kelemahan yang ada,” akhiri Azira.
Sumber: BH Online
Download aplikasi seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI