Tahniah diucapkan buat pelakon drama bersiri Gerak Khas, Farid Amirul yang telah pun selamat diijabkabulkan bersama wanita pilihannya, Norhayati Abdullah, 39, di Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi), Kuala Lumpur, pada Selasa.
Farid, 55, yang sebelum ini sinonim menerusi menerusi watak Detektif Lim memetik Harian Metro berkata, majlis akad nikah berjalan dengan lancar meski ia berlangsung sedikit lewat.
Malah, majlis turut dijalankan mengikut norma baharu.
“Alhamdulillah, majlis akad nikah berjalan lancar. Sepatutnya ia berlangsung jam 12 tengah hari tapi dilewatkan sedikit memandangkan ada beberapa pasangan lain sebelum kami.
“Majlis semalam dihadiri lima orang termasuk saya dan juga isteri. Akad nikah disempurnakan oleh jurunikah dari Jawi, Ustaz Maliki,” katanya.
Farid pada masa sama turut memberikan reaksi berhubung majlis kahwin yang dilangsungkan dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ada kelebihan dan kekurangan.
“Kalau dari segi kos, memang jimat sebab kita tak ada jemputan dan sebagainya. Tapi, dari segi perasaan untuk mengikut adat, saya rasa sunyi sikit sebab tak ada majlis keraian.
“Insya Allah, kalau PKP sudah ditamatkan nanti dan kita dibenarkan untuk adakan majlis, kami akan adakan majlis resepsi sama ada di Kuala Lumpur atau di kampung halaman isteri di Kuala Krai, Kelantan,” katanya.
Itu adalah perkahwinan pertama buat Farid dan isterinya yang juga ahli perniagaan.
Sementara itu, dalam satu perkongsian yang dibuat oleh Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Seri Dr Zulkifli Al Bakri, beliau turut memaklumkan telah terserempak dengan Farid Amirul di Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) yang baru selesai melangsungkan pernikahan.
Momen bersama pasangan pengantin turut dikongsikan menerusi salah satu hantaran di akaun FB rasmi beliau.
Sumber, Foto : Harian Metro,