Mak Jah Hidap Kanser, Sanggup Gadai Barang Kemas Rawat Penyakit

Share

Bagi pencinta drama tempatan, kalian pasti sering melihat kelibat pelakon veteran, Maimunah Ahmad atau lebih sinonim dengan panggilan Mak Jah di kaca televisyen.

Bagaimanapun kebelakangan ini, penampilannya agak jarang dapat ditonton kerana rupa-rupanya, bintang senior itu pernah bertarung dengan penyakit kanser rahim tahap satu, kira-kira tiga tahun lalu.

Memetik Berita Harian Online, Mak Jah turut menggadai barangan kemas bagi membiayai rawatan apabila disahkan menghidap penyakit berkenaan.

Malah kongsinya seperti yang dipetik, bintang berusia 71 tahun ini tiada pilihan lain kerana memerlukan wang bagi menampung kos rawatan.

“Barang kemas boleh dicari, tetapi nyawa tiada galang ganti. Selagi boleh berusaha, saya tidak mengalah untuk bebaskan diri daripada penyakit itu.

“Sehingga hari ini, saya tidak mampu menebus barang kemas yang dibeli dengan hasil titik peluh bekerja sebagai anak seni.

“Tidak mengapa kerana saya baru bangkit dan mula bekerja selepas dua tahun kurang mendapat tawaran berlakon. Alhamdulillah, saya sudah sihat sepenuhnya dan boleh bekerja seperti dahulu,” jelas Mak Jah.

Pada masa sama, Mak Jah turut memberitahu dia mengalami masalah kemurungan apabila disahkan menghidap penyanyi tersebut dan mengambil keputusan untuk menjauhkan diri daripada rakan-rakan.

Malah, ibu kepada tiga cahaya mata itu juga merasakan bagaikan patah semangat dan hilang kekuatan.

Bagaimanapun selepas lebih tiga tahun, Mak Jah sudah disahkan bebas kanser. Hal tersebut dimaklumkan kepadanya sekitar April lalu.

“Ketika sakit, saya tolak tawaran berlakon kerana memikirkan tiada guna lagi saya terus mengejar duniawi. Doktor yang merawat marah kerana saya terlalu melayan emosi.

“Saya hanya kembali bangkit, tahun lalu selepas mendapat motivasi daripada seorang ustaz. Ketika itu, saya bersolat setiap waktu di masjid hingga ustaz pelik melihat saya menangis seorang diri setiap hari,” katanya.

“Ustaz memaklumkan, saya beruntung dan terpilih kerana diuji dengan penyakit. Saya tahu akan mati, sudah tentu membuat persediaan untuk kembali ke pangkuan-Nya.

“Mendengar nasihatnya, saya bersemangat untuk bangkit semula. Saya menjalani kehidupan seperti biasa, tidak lagi menjauhkan diri daripada rakan, tanpa mensia-siakan ibadat saya,” akui Mak Jah yang penah berdoa depan kaabah saat berada di tanah suci ketika menjalani penggambaran drama di sana.

Foto/Sumber: Inatagram Adam Hamid/Berita Harian

Published by
MH