Sudah menjadi kebiasaan setiap kali hampir menjelang Hari Raya Aidilfitri, mana-mana iklan raya yang berjaya menyentuh hati orang ramai pasti mendapat perhatian meluas penonton.
Terbaru, iklan raya berjudul Mangkuk Tingkat Mak Teh yang dikongsikan menerusi laman rasmi YouTube Saji Malaysia tidak terkecuali apabila ia menjadi buah mulut ramai, hingga meraih hampir 700,000 tonton selepas beberapa hari dimuat naik.
Menerusi video berdurasi kurang 6 minit itu, Mangkuk Tingkat Mak Teh memaparkan nilai kesetiaan dan kasih sayang Mak Teh, lakonan Fatimah Abu Bakar kepada suaminya, Abang Din masih mekar meski telah meninggal dunia.
Turut sama terlibat di dalam iklan raya berkenaan ialah Bront Palarae, Sara Ali serta beberapa pelakon lainnya.
Melihat di ruangan komen, rata- rata netizen meluahkan rasa sedih dan hiba selepas menonton iklan raya tersebut.
Malah tak kurang ada menitiskan air mata sejurus menonton iklan yang diilhamkan daripada kisah benar itu.
Sumber: YouTube Saji Malaysia