Isteri kepada vokalis kumpulan, XPDC, Ali, Sharifah Azwana Syed Joned amat mengalu-alukan bantuan dari segi kewangan dan lampin pakai buang buat suaminya yang ketika ini sedang menerima rawatan di Hospital Rehabilitasi Cheras, Kuala Lumpur.
Memetik laporan Harian Metro, Sharifah Azwana memaklumkan inisiatif tersebut sebenarnya telah dimulakan oleh sahabat suaminya, Fuad yang memanjangkan perkara tersebut di Facebook.
Katanya lagi, Ali ketika ini sememangnya bergantung harap kepada lampin pakai buang dan susu buat masa ini.
“Dia (Fuad) ada tanya saya nak perlukan apa-apa tak. Saya kata buat masa ini lampin pakai buang dan susu. Cara dia cakap macam nak hantar, tapi dia tak dapat. Jadi dia bagi duit saja.
“Niat Fuad baik dan dia pun nak bantu. Sebab sekarang ini memang perlukan bantuan kewangan nak beli lampin pakai buang dan susu. Sekarang ini abang Ali gunakan sehari satu beg lampin. Semalam pun ada dapat sumbangan dari Melaka berupa lampin pakai buang. Dia cakap tengok di Facebook.
“Jadi, kalau ada yang bagi duit boleh beli susu dan lampin pakai buang. Selain itu dapat juga tampung kos perjalanan ulang alik dari rumah kami di Klang. Saya minta anak-anak belikan keperluan berkenaan. Sebab saya memang di hospital saja menjaga abang Ali,” katanya seperti yang dipetik.
Dalam pada itu, Sharifah Azwana turut memaklumkan keadaan kesihatan Ali kini telah pun menunjukkan tanda-tanda positif dan kini sedang giat menjalani proses fisioterapi.
“Alhamdulillah, abang Ali semakin pulih dan bertambah baik. Dia sudah dimasukkan ke hospital di sini sejak Rabu lalu. Pada Khamis dan Jumaat pula sudah mula buat fisioterapi. Baru dua hari sudah nampak perubahan. Dia sudah boleh jalan beberapa tapak walaupun menggunakan tongkat.
“Cuma masih tak boleh bercakap dengan lancar lagi. Makan dan minum susu pun menggunakan tiub sebab tekak dia masih sakit nak telan.
“Berdasarkan apa yang diberitahu oleh doktor, insya-Allah abang Ali akan cepat sembuh. Semangat dia kuat. Doktor jangka akan berada di hospital selama tiga minggu. Tapi kalau semakin baik boleh keluar awal,” kongsinya lagi.
Sebelum ini, Ali telah dimasukkan ke Hospital Ampang dan terpaksa ditidurkan selepas mengalami gangguan penafasan.
Insiden tersebut difahamkan berlaku ketika Ali seledai menjalani latihan di studio milik pemain bass XPDC, Eddie di Pandan Indah.
Latihan tersebut sebenarnya sebagai persiapan untuk Konsert Jualan Hitam 2022 yang sepatutnya akan berlangsung di Warisan Hall Studio, Banting pada 12 Mac lalu.
Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik di sini.
Sumber: Harian Metro
Download aplikasi seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI