Sejak melancarkan single debut berjudul Make You Wanna Mac lalu, kumpulan wanita DOLLA berjaya menarik perhatian pencinta muzik dengan konsep lagu, penampilan, nyanyian dan tarian yang dikatakan setaraf dengan kumpulan wanita antarabangsa.
Meski nama DOLLA masih baru dalam industri Malaysia, namun kumpulan wanita yang dianggotai empat gadis cantik ini sudah pun berjaya mengumpul peminatnya sendiri yang menggelarkan diri mereka ‘iDOLLA’.
Terbaru, DOLLA muncul dengan single kedua, Impikan. Menariknya, ia turut dilancarkan dalam versi Bahasa Inggeris (Watch Me Glow).
Lagu ini adalah ciptaan komposer dan penerbit terkenal dari Sweden iaitu Ludwig Lindell, Daniel Caesar, Karl Oscar Gummesson yang turut menulis lirik untuk versi Inggerisnya. Manakala lirik IMPIKAN pula ditulis penyanyi rap, komposer dan penerbit iaitu Luca Sickta dan YonnyBoii.
Sabronzo mewakili DOLLA berkata pihaknya cukup teruja untuk berkerjasama dengan pencipta lagu yang pernah menghasilkan beberapa lagu hits dunia.
“Sudah pastinya kami sangat teruja diberikan lagu daripada komposer dan penerbit antarabangsa yang sebelum ini pernah menghasilkan lagu-lagu hits K-Pop seperti ‘All Night’ nyanyian Girl’s Generation.
“Dengan peluang ini ianya sedikit sebanyak memberikan kami kelebihan kepada kami untuk membawa konsep muzik yang lebih bercitarasa antarabangsa,” katanya.
Manakala ketua Pemasaran Domestik Universal Music Malaysia, Anne Mukhtar turut menyatakan Watch Me Glow sesuai untuk dibawa DOLLA.
“Sebenarnya kerjasama kami dengan syarikat produksi The Kennel AB dari Sweden ini sudah lama terjalin menerusi beberapa projek untuk artis di bawah Universal Music Group.
“Bila kami menerima lagu Watch Me Glow dalam senarai lagu yang mereka hantar untuk projek lain, kami merasakan ianya sesuai dengan konsep muzik yang Dolla cuba tampilkan.
“Setelah berbincang dengan Dolla sendiri, kami bersepakat untuk menjadikan single kedua Dolla dan dikeluarkan dalam dua versi iaitu Bahasa Melayu dan Bahasa English.
“Ini merupakan pertama kalinya, Universal Music Malaysia mengeluarkan lagu dalam dua Bahasa sebagai strategi kami membawa Dolla menembusi pasaran tempatan dan antarabangsa.
“Walaupun Dolla masih hijau dalam industri muzik, namun kami percaya akan potensi dan bakat mereka untuk melangkah lebih jauh.
“Kami berharap lagu ini bukan sahaja disambut baik oleh peminat muzik tempatan dan antarabangsa, malah lagu ini mampu menjadi pengubah keadaan dalam meletakkan nama Dolla dan Malaysia di peta muzik global,” jelasnya.
Lagu terbitan Universal Music Malaysia ini sudah boleh didapati di platform digital muzik dan muzik video rasmi juga turut dilancarkan.