Usahawan terkenal, Datuk Seri Aliff Syukri mendedahkan tahap kesihatannya kini tidak berada dalam keadaan yang baik selepas tulang belakangnya dilaporkan patah.
Kecederaan yang mula disedari sejak minggu lalu itu telah menyebabkan dia sukar berjalan dan perlu memakai pelindung di bahagian pinggangnya itu.
“Saya ada masalah di bahagian pinggang. Sampai sekarang saya masih lagi rasa sakit. Kata doktor, pinggang saya patah. Kecederaan tersebut berlaku minggu lepas.
“Saya masih lagi menjalani rawatan susulan. Dalam enam bulan ini, saya akan dipantau pihak doktor. Saya juga masih pakai pelindung di bahagian pinggang. Berjalan pun agak bermasalah,” katanya ketika ditemui MH baru-baru ini.
Jelas penyanyi lagu Cuba Bahagi ini lagi, tulang belakangnya itu patah mungkin disebabkan kecederaan-kecederaan lama ditambah pula ketika ini dia sangat aktif melakukan aktiviti senaman.
Bagaimanapun, Aliff memutuskan untuk tidak menjalani sebarang pembedahan sebaliknya mahu mencuba rawatan alternatif.
“Kecederaan ini mungkin berlaku kerana saya kerap menjalani senaman yang perlu mengangkat beban berat. Mungkin juga kerana saya pernah terjatuh motosikal. Kemudian, saya pergi hiking pula. Makin lama makin teruk.
“Tulang saya memang rapuh sebab saya tak suka minum susu. Doktor saran untuk menjalani pembedahan tapi saya tak nak kerana saya masih muda.
“Saya nak dapatkan nasihat daripada doktor pakar lain pula. Buat masa sekarang, dah dua orang doktor kata perkara yang sama. Kini, saya nak cuba rawatan alternatif pula,” kongsinya lagi.
Ditanya mengenai kebimbangannya jika penyakitnya itu melarat, bapa kepada lima orang cahaya mata ini memberitahu, dia akan cuba bertahan selagi mampu.
“Saya bimbang juga tapi bila memikirkan fasal pembedahan, saya akan cuba bertahan selagi saya mampu berjalan. Orang mungkin nampak saya segak berjalan tapi saya sedang menahan sakit.
“Saya kini hanya boleh berjalan maksimum 15 minit. Selepas itu, saya kena duduk. Segalanya masih diperingkat baru. Doakan saya,” akhirinya.
Aliff juga berharap agar semua pihak dapat mendoakan semoga pinggangnya itu dapat kembali pulih seperti sedia kala.
Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik di sini.
Kredit Foto: Instagram Aliff Syukri