Peguam syarie yang mewakili pelakon Nur Fazura, Fakhrul Azman Abu Hassan menafikan curang menjadi punca anak guamnya memfailkan perceraian terhadap suaminya yang juga pelakon, Fattah Amin.
Mengulas mengenai perkara tersebut, Fakhrul memberitahu, perceraian berpunca kerana tiada persefahaman di antara mereka.
“Selepas permohonan cerai dibuat, Fazura dan Fattah tidak pernah mengeluarkan sebarang kenyataan.
“Malah dalam permohonan cerai yang dibuat juga tiada langsung menyebut isu berkaitan curang, sebaliknya antara mereka tiada persefahaman,” katanya.
Dakwa Fakhrul, isu curang yang tular di media sosial baru-baru ini tidak pernah dibangkitkan oleh kedua-dua pihak.
“Semuanya berpunca daripada individu yang membuat kenyataan di media sosial terhadap perkara yang kami tak pernah cakap.
“Kedua-dua pihak sebolehnya mahu menyelesaikan kemelut rumah tangga mereka tanpa mengaibkan mana-mana pihak,” katanya lagi.
Sementara itu, mengulas mengenai tindakannya yang berdiam diri sejak permohonan cerai dibuat, Fazura berkata, tindakannya itu adalah yang terbaik buat masa ini.
“Alhamdulillah itu lebih baik untuk saya. Selebihnya saya serahkan kepada Allah,” katanya.
Mahkamah Rendah Syariah Petaling, Subang Bestari, di sini hari ini menangguhkan kes perceraian pasangan selebriti, Nur Fazura dan Fattah Amin ke satu tarikh baharu pada 7 Oktober ini.
Terdahulu, isu keretakan rumah tangga Fazura dan Fattah hangat diperkatakan dalam media sosial apabila mereka dikatakan sudah tidak lagi meninggalkan komen atau tanda suka dalam hantaran di akaun masing-masing.
Tidak cukup itu, kisah rumah tangga Fazura dan Fattah dibincangkan di sebuah laman sembang hingga menarik perhatian netizen.
Pada 13 September lalu, media melaporkan, Fazura memfailkan permohonan cerai terhadap Fattah di Mahkamah Rendah Syariah Petaling, Subang Bestari, di sini.
Butiran lanjut tidak diperincikan mengenai permohonan cerai itu, namun, ia mengejutkan ramai pihak dan sehingga kini isu yang berlaku diantara Fazura dan Fattah masih menjadi tanda tanya.
Bagaimanapun, Fattah dilapor berkata, dia terkejut terkejut apabila menerima berita isterinya memfailkan perceraian dan hanya mengetahui perkara itu menerusi media sosial.
Fazura dan Fattah mendirikan rumah tangga pada 27 November 2017. Hasil perkahwinan, mereka dikurniakan seorang cahaya mata perempuan iaitu Nur Fatima Aisya yang berusia empat tahun.
Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik disini