Dua hari lalu, pelakon Abby Abadi telah selamat melahirkan seorang bayi lelaki pramatang yang digelar sebagai Baby D seberat 540 gram.
Dilahirkan pada usia kandungan mencecah 24 minggu, zuriat hasil perkahwinan Abby bersama suami yang dikenali sebagai Faizal Zakaria pastinya memerlukan penjagaan rapi, termasuk keperluan susu ibu secukupnya.
Lalu, Memey Suhaiza cuba meringankan beban Abby dengan mengambil tanggungjawab bersama-sama membekalkan susu badannya buat Baby D.
Perkongsian tersebut dikongsikan isteri kepada pelakon, Norman Hakim itu menerusi satu video pendek di Instagram, baru-baru ini.
Terdahulu Abby atau nama sebenarnya, Arbaiyah Abdul Manan, 41, dimasukkan ke hospital sejak minggu lalu selepas menghadapi masalah tekanan darah tinggi.
Bintang Gerak Khas itu mendirikan rumah tangga dengan Faizal pada 14 Ogos 2015 turut mempunyai dua anak angkat, Muhammad Daiyan Fayyad dan Maisara Dayana Fathia.
Foto: Instagram Memey Suhaiza