Pelakon, Amir Ahnaf teruja apabila dapat membuatkan ibu dan ayahnya berasa bangga saat menonton filem Kahar Kapla High Council yang pertama kali ditayangkan di acara malam gala, pada Isnin.
Menurut Amir, filem tersebut berjaya membuatkan ibu dan ayahnya tersentuh seterusnya lebih menghargai bakat seni yang telah diperjuangkan selama ini.
“Mama dan ayah ucap tahniah kepada saya. Mama saya tonton filem ini sampai menangis. Ayah pula menganggap ini karya terbaik saya setakat ini.
“Saya sangat bangga dengan diri sensiri. Seumur hidup, saya tak pernah bangga dengan diri sendiri. Saya teruja kerana dapat membanggakan ibu dan ayah.
“Semoga rakyat Malaysia juga bangga dengan karya ini,” katanya kepada MH.
Bintang Kelahiran Hero Remaha 2021 itu berkata sedemikian ketika ditemui pada malam gala filem Kahar Kapla High Coucil yang berlangsung di GSC Mid Valley, Kuala Lumpur, malam tadi.
Biarpun terpaksa memaparkan imej ganas di dalam filem ini, Amir percaya ibu bapa dan ahli keluarganya faham tentang mesej yang ingin disampai seterusnya memberikan teladan yang baik buat penonton.
“Saya tidak berasa segan. Saya percaya, apa yang saya tontonkan itu adalah watak Kahar dan bukan diri saya sendiri.
“Saya tahu mama, ayah dan adik beradik pun faham juga. Yang mereka tonton itu adalah sebuah imej yang perlu dipertontonkan untuk memberi nasihat dan teladan,” katanya lagi.
Dalam pada itu, Amir akui berdepan pelbagai cabaran untuk menjayakan watak Kahar yang kali ini sarat dengan permainan emosi.
“Memang susah untuk bermain dengan emosi. Dalam dunia nyata, saya memang jarang tunjukkan emosi saya.
“Saya juga ingin berterima kasih kepada pengarah dan rakan-rakan pelakon yang lain kerana memberikan saya kepercayaan dan keselesaan untuk saya melembutkan hati seterusnya memberikan kualiti lakonan terbaik.
“Terima kasih saya ucapkan kepada pengarah, penerbit, barisan pelakon, mak ayah dan peminat kerana mempercayai serta menyokong kerjaya saya,” kongsinya.
Pada masa sama, Amir akui mempelajari ilmu mempertahankan diri sejak dibangku sekolah menjadi kelebihan buat dirinya untuk menjayakan babak-babak aksi dengan sangat baik di dalam filem ini.
“Pada saya, sangat mudah untuk menjayakan babak pertarungan di dalam filem ini. Saya memang suka berlawan.
“Saya belajar bermacam-macam seni mempertahankan diri sejak sekolah rendah lagi seperti silat, muay thai, tinju dan Brazillian Jiu-Jitsu.
“Jadi, segala aksi yang ditunjukkan oleh koreografi, kami boleh buat. Secara tidak langsung, ia dapat memudahkan kerja semua orang,” akhirinya.
Terdahulu, filem Kahar Kapla High Council bakal ditayangkan di pawagam seluruh negara bermula 28 November ini.
Selain Amir, filem terbitan Astro Shaw ini turut menampilkan barisan pelakon-pelakon hebat seperti Aedy Ashraf, Sky Iskandar, Fadhli Masoot dan Hushairy Hussein.
Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan di sini.