Pengacara dan penceramah motivasi, Amin Idris menegur usahawan dan pempengaruh, Hafiz Mahamad susulan isu mencium Hajar Aswad sehingga mengundang reaksi ramai.
Menurut Amin, dia terpaksa membuat teguran secara terbuka kerana video berkenaan telah menimbulkan kekeliruan di dalam masyarakat.
“Kalau beliau menonton video ini, saya harap dia dapat menerima teguran dengan baik. Kalau dia buat video secara private dan saya terlihat video itu, pasti saya akan menegur secara peribadi.
“Tapi dia sudah kongsikan kepada tontonan umum dan sudah ribuan orang yang menonton. Malah, ada yang terkeliru.
“Maka saya kena tegur secara terbuka bukan sahaja untuk dia tapi untuk orang ramai,” katanya menerusi sebuah hantaran video di Instagram.
Malah, pengacara program Borak Dulu Baru Buka ini turut berpandangan, jika kita gagal fokus ketika menunaikan ibadah umrah dan haji, kita tidak akan merasai hikmah ibadah tersebut.
“Bukan untuk dia sahaja tapi sesiapapun yang pergi ke Mekah mahupun Madinah, perlu ke buat konten atau video? Bila kita ke Tanah Suci, fokuslah betul-betul.
“Bukan semua orang boleh pergi kerana itu adalah ibadah kemuncak bagi yang berkemampuan. Jadi, buatlah betul-betul dan tak perlu sibuk nak buat konten
“Kalaulah ibadah pun berbelah bahagi dan gagal menerapkan tarbiah umrah atau haji dalam diri, akhirnya, bila pulang ke tanah air, kita gagal berubah menjadi orang yang lebih baik sebab tak berikan sepenuh jiwa, hati dan perhatian,” ujarnya lagi.
Lantaran itu, Amin menyeru kepada semua pihak untuk lebih mendalami ilmu sebelum membuat sesuatu perkara.
“Sebab itu penting kita beribadah dengan ilmu supaya kita tidak melakukan perkara yang tidak sepatutnya. Kemampuan bukan sahaja dari sudut duit tapi juga dari segi ilmu.
“Bila kurang ilmu, kita akan bertindak secara tidak wajar. Kalau orang bukan muslim yang melihat, mereka akan kata buruknya Islam.
“Kita cium Hajarul Aswad kerana itu yang Nabi buat. Kita kena ikut suruhan Allah berdasarkan tindakan Nabi. Kita tak boleh memandai-mandai.
“Mencium hajarul aswad itu sunat sahaja. Kalau ada ruang pergilah tapi kalau terlalu ramai, janganlah kita menyakiti orang. Cukuplah pandang daripada jauh dan bertakbir,” akhirinya.
Terdahulu, Hafiz telah pun membuat permohonan maaf dan memadamkan video yang berkaitan demi menghormati pelbagai persepsi.
Menurut Hafiz, dia tidak mempunyai niat untuk riak sebaliknya hanya mahu memberikan manfaat kepada pekerja dan para pengikutnya di media sosial.
Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik di sini.