Berita

Maria Raih 80.63% & Menang Trofi Emas Berkilau of The Week, Juri Minta Peserta Kuasai Aspek Vokal Juga Persembahan

Share

Minggu keempat program realiti, Kilauan Emas 2024 malam tadi menyaksikan hampir semua peserta mempamerkan kualiti vokal dan persembahan yang lebih menyakinkan.

Meski tiada penyingkiran dilakukan, namun situasi tersebut nyata memberi tekanan kepada semua peserta susulan ada kemungkinan lebih daripada seorang yang bakal tersingkir selepas ini.

Lagu ‘Galau’ Maria Bawa Tuah, Datuk Jalaluddin Puji Sue Cantik!

Penghayatan mendalam dengan vokal memukau nyata memberi kelebihan kepada Maria apabila dia menggunguli trofi Emas Berkilau of The Week buat kali ketiga berturut-turut.

Menyampaikan lagu hits daripada Zaiton Sameon berjudul Kabut Serangkai Mawar dengan cara tersendiri, Maria berada di posisi tertinggi di kalangan sembilan peserta lain minggu ini dengan 80.63 peratus.

Bagi Maria, dia mahu membawa lagu berkenaan dengan sebaik mungkin walaupun dia awlanya sebak dan hampir menitiskan air mata ketika membuat persembahan.

Menurut Maria, lagu itu memberi makna mendalam secara peribadi apabila cintanya pernah ditolak sebelum ini.

Dia pada masa sama turut berterima kasih atas sokongan berterusan penonton dan juri awam yang selamat ini tidak pernah putus memberikan sokongan.

Sementara itu, Sue pula memberi saingan sengit apabila meraih markah sebanyak 80.00 peratus menerusi lagu Diam Diam Jatuh Cinta daripada Ramlah Ram.

Lengkap dengan elemen drama dalam lagu, Sue turut menerima pujian juri jemputan, Datuk Jalaluddin Hassan yang menyifatkan ia sebagai sebuah persembahan yang baik dan ‘cantik’.

Budin Lebih Yakin, Penonton Sama Menyanyi

Mengikuti Sue di kedudukan ketiga ialah peserta yang paling mencuri tumpuan, Budin dengan 75.87 peratus yang tampil membawakan lagu Gerhana yang dipopularkan oleh Kembara.

Dapat dilihat, ia menjadi persembahan terbaik Budin sekatat ini selepas menerima komen dan kritikan juri kerana lupa lirik sebelum ini.

Malah, penonton yang hadir ke Royal Theatre Shah Alam juga ‘sporting’ menyanyikan lagu malar segar itu bersama-sama Budin.

Erra secara profesional pula berdiri sambil berkata persembahan sebeginilah yang mahu ditonton semua peminat yang selama ini menyokong perjalanan Budin di Kilauan Emas 2024.

Bijak mengawal pentas sambil mengikut rentak tarian, Erra juga tidak mahu lagi melihat Budin melakukan kesilapan besar dalam persembahan, selain memintanya untuk tampil lebih berkeyakinan.

Sementara itu, Sidi dan Balqis berada di dalam kedudukan lima terbaik semalam dengan markah masing-masing sebanyak 74.57 peratus dan 73.60 peratus.

Lima peserta lain iaitu Wan, Atie, Ron, Gie dan Ina perlu mengambil input positif yang diberikan barisan juri demi memperbaiki kualiti persembahan minggu hadapan.

Vokal Semata Tak Cukup! Persembahan Perlu Seiring

Hakikatnya, vokal sahaja tidak menjamin untuk para peserta terus bertahan dalam saingan sekiranya tidak mempamerkan keupayaan baik untuk menguasai pentas.

Itu aspek yang ditekankan Erra Fazira yang menyifatkan semua peserta sudah ada asas nyanyian, tinggal lagi mereka perlu ‘tajamkan’ kefahaman mengenai gaya persembahan, interaksi dengan audiens dan sebagainya.

Setiap perincian itu diambil kira, mempunyai markah tersendiri dan tidak boleh hanya bergantung kepada vokal sahaja.

Begitu juga dengan kesilapan teknikal seperti lupa lirik atau lari tempo memandangkan kini sudah memasuki minggu keempat.

Sekaligus, para juri kini dalam misi mencari juara baharu Kilauan Emas, bermula minggu hadapan dan seterusnya.

Terdahulu, konsert minggu keempat Kilauan Emas 2024 telah dinilai oleh juri tetapnya, Erra Fazira dan Roy Azman serta aktor berpengalaman, Datuk Jalaluddin Hassan di kerusi juri jemputan.

Ia turut diserikan dengan persembahan Linda & Diana Rafar, Ieda & Eddy Moin dan Neves Pretty Ugly.

Program yang dihoskan Elly Mazlein ini bersiaran secara langsung di saluran Astro Prima (105), setiap Sabtu jam 9.00 malam dan boleh juga distrim menerusi apliaksi Astro Go dan sooka.

Published by
MH