Penyanyi yang kini bersaing di Gegar Vaganza musim kelapan (GV8), Aliff Aziz akui gembira selepas berjaya meneruskan saingan di program berkenaan minggu hadapan.
Menurut Aliff, dia percaya semua bintang yang bertanding sudah melakukan yang terbaik dan kejayaan yang diraihnya semalam adalah rezeki.
Dihoskan Jihan Muse dan Nabil Ahmad, GV8 bersiaran secara langsung dari Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), Putrajaya.
“Semua sudah buat yang terbaik, mungkin rezeki saya pada malam ini. Apa pun saya rasa gembira untuk mara dan buat persembahan pada konsert seterusnya,” katanya.
Ditanya harapan tinggi peminat selepas berjaya meraih markah tertinggi untuk dua minggu berturut-turut, penyanyi lagu Sayang-Sayang ini menyifatkan ia sebagai pemangkin semangat.
“Saya rasa bila orang nak melihat kita buat yang terbaik adalah satu cabaran yang bagus sebab ia beri kita semangat untuk mahu terus memberikan yang lebih lagi. Yang penting kita suka dengan apa yang dilakukan dan jangan pernah letih untuk usaha.
“Dapat mara ke peringkat seterusnya pun saya bersyukur. Alhamdulillah markah yang diterima ialah satu bonus yang membuatkan saya untuk buat yang lebih baik selepas ini, insya-Allah,” katanya.
Aliff bakal membuat persembahan menerusi lagu Kasihnya Laila yang dipopularkan oleh Jinbara, minggu depan.
“Genre yang 360 darjah berbeza dengan apa yang pernah saya bawakan sebelum ini. Tapi inilah yang seronoknya menerusi GV.
“Kita perlu melakukan persembahan di luar zon selesa demi belajar sesuatu yang baru. Kalau kita nak nyanyi lagu kita saja susah juga,” katanya lagi.
GV musim ini menampilkan Datuk Ramli MS, Hetty Koes Endang dan Datuk Syafinaz Selamat sebagai juri tetap dan akan dibantu juri jemputan setiap minggu.
Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik di sini.
Foto: Azrul Rafie
Download aplikasi seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI