Susulan insiden hangat membabitkan komennya terhadap salah satu finalis Famili Duo, Sissy Imann dan Naim Daniel, juri tetapnya Mas Idayu tampil memberikan penjelasan.
Mas Idayu terbuka andai ada netizen yang tidak berpuas hati dengan caranya tetapi jangan mengganggu para peserta program realiti berkenaan.
Pada minggu keenam saingan, komen keras yang diberikan Mas Idayu terhadap kedua penyanyi tersebut mendapat reaksi pelbagai selepas Sissy dilihat tidak dapat menahan sebak lalu menangis hingga terpaksa ditenangkan hos.
“Saya sangat mengalu-alukan netizen memaki diri saya, asalkan jangan ganggu peserta Famili Duo.
“Itu yang saya harapkan, jangan maki peserta. Sebab itu saya tak mahu bersuara langsung dari awal. Saya tak mahu mereka terganggu.
“Ada peserta yang mesej saya di Instagram, mereka katakan nampak sangat saya sayangkan Sissy dan Naim berbanding mereka.
“Itu pun saya diamkan sahaja dan tidak balas mesej mereka kerana orang boleh nampak, saya memberikan teguran yang lebih kepada mereka berbanding peserta lain,” katanya.
Mengakui dia tidak terasa hati dengan reaksi Sissy sejurus insiden tersebut berlaku, Mas Idayu cuba memahami situasi.
“Saya tak terluka dengan tindakan Sissy yang menangis selepas diberikan komen dan berkongsi beberapa hantaran di Instagram selepas kejadian itu.
“Apa yang saya nampak, dia tak marah saya sebab yang saya perhatikan, perasaannya lebih kepada kecewa dengan diri dia. Tetapi, kerana dia mendiamkan diri, netizen pula yang hentam saya.
“Dalam masa seminggu kejadian berlangsung, saya dapat panggilan b*bi, c*laka, s*al, anj*ng dan sebagainya, tetapi saya tak nak jawab apa-apa pun kerana saya enggan mereka kacau peserta.
“Apa yang saya mahukan ialah biar mereka fokus sehingga perjuangan tamat di pentas Famili Duo. Itu yang saya harapkan. Makilah saya dahulu,” katanya lagi.
Ibu kepada seorang cahaya mata itu turut mengulas mengenai keputusannya yang memilih untuk tidak memberikan komen terhadap Sissy dan Naim selepas persembahan pada saingan separuh akhir.
“Saya nak dia kuat seperti orang lain. Saya nak Sissy dan Naim minta sendiri saya komen kerana saya nak mereka kental macam peserta lain. Sissy dan Naim sangat bijak dalam muzik, cuma mungkin di minggu keenam ada silapnya.
“Pernah tak sejak minggu pertama, juri katakan mereka tak bagus? Tak ada. Minggu keenam sahaja. Saya tak rasa apa-apa apabila dihamburkan kata-kata kejian kerana saya kental.
“Saya tak peduli, jika orang lain nak marah, marahkan saya, bukan peserta saya,” katanya.
Malam tadi, pasangan sepupu itu menduduki tempat keempat sekaligus membawa pulang hadiah bernilai RM10,000 beserta trofi.
Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara, jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik Di Sini