Usahawan selebriti Datin Thalia Baiduri kesal dengan sikap pembantu rumahnya yang selama ini dianggap baik namun rupa-rupanya hanya bertopengkan agama.
Thalia berkata, dia terkejut apabila mendapat tahu perkara sebenar pembantu rumah yang dipanggil Bibik Elly tidak berlaku jujur meski dilayan seperti keluarga sendiri.
Malah Thalia turut mendakwa anak bongsunya pernah dilayan dengan teruk misalnya membiarkan kanak-kanak itu berbau hancing dan bermain dengan air tandas.
“Pada awalnya, saya tidak pernah mengesyaki apa-apa sebab dia sangat baik dan difahamkan dia tidak pernah tinggal solat Dhuha.
“Bagaimanapun semuanya terbongkar apabila mesej bersama teman lelakinya telah dikirimkan oleh individu berkenaan.
“Bila saya tanya dia menafikan, tapi bukti jelas apabila kami menerima mesej yang dia kirimkan kepada kekasihnya dan memaki hamun kami termasuk mendoakan saya dan anak saya mampus,” katanya.
Perkara tersebut dikongsikan Thalia menerusi satu sesi ‘TikTok live’ baru-baru ini dan beberapa sedutan mengenai pendedahan berkenaan turut dikongsikan kembali warganet.
Thalia yang pernah bergelar pelakon itu menambah, selepas ia terbongkar segala kebenaran mengenai bibik Elly turut sampai ke pengetahuannya dan suami melalui dua lagi pembantu rumah.
“Saya memang hairan sebelum ini, sebab anak berbau busuk setiap kali saya balik kerja, malah badannya juga penuh dengan luka. Tapi bila tanya dia, siap sumpah dengan nama Allah dia jaga anak dengan baik.
“Rupa-rupanya anak saya sudah beberapa kali jatuh dan dibiarkan sendirian tanpa dibersihkan, bibik lain pula tidak berani dengan dia kerana dia sudah lebih setahun berkhidmat dengan saya.
“Saya memang tidak pernah syak sebab bila dia sebut Allah, saya fikir takkan dia tergamak main nama Allah,” katanya lagi.
Malah, Thalia mendakwa pembantu rumah berkenaan juga didapati leka bermain cinta dengan lelaki senegara yang kononnya bekerja sebagai juruterbang.
Dedahnya, pembantu rumah yang berusia lewat 40-an itu terbuai dengan cinta lelaki berkenaan sehingga sanggup mengabaikan tugas hariannya.
“Saya difahamkan dia bercinta dengan pilot dan yang kelakarnya dia berhabis duit untuk lelaki itu. Saya tidak mahu masuk campur cuma bila sampai tugas terabai dan anak saya jadi mangsa memang saya tidak boleh terima.
“Malah bila kita panggil untuk bersemuka pun dia tidak menunjukkan sebarang penyesalan serta tiada langsung ucapan maaf yang keluar dari mulut,” katanya.
Susulan insiden yang berlaku, Thalia dan suaminya, Datuk Shahriza Amir mengambil keputusan untuk menamatkan perkhidmatannya serta merta.
“Saya sendiri hilang kata-kata dengan sikap bibik berkenaan, tak apalah tiada rezeki dia bekerja dengan saya.
“Yang penting kita dah pulangan pada agen dan keselamatan anak kami terjamin,” katanya yang serik dengan kejadian itu sehingga ragu-ragu untuk memilih pembantu rumah baharu.
@datinthaliabaiduri Bibik doakan saya sekeluarga mam*** ??!! Sampai hati bibik buat kami macam ni 😭 Saya dah anggap macam keluarga tau 😭 #fyp ♬ Funny – Gold-Tiger
Untuk terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan, klik di sini