Tahniah diucapkan buat vokalis kumpulan Floor 88, Ayie Elham yang telah selamat bertunang dengan gadis pilihan hatinya, Tasha Awie di Lanai Anggun, Eco Sky, Kuala Lumpur.
Majlis yang diadalan mengikut prosedur operasi standard (SOP) itu bertemakan warna putih bagi lelaki dan merah hati untuk pihak perempuan.
Ayie atau nama sebenarnya Nik Fadlee Elhamshah turut memuat naik sekitar momen indah sepanjang majlis di Instagram buat tatapan umum.
Memetik mStar, penyanyi berusia 23 tahun ini mendedahkan mereka memberi tempoh pertunangan selama setahun namun berkemungkinan akan melangsungkan pernikahan tahun ini jika diberikan rezeki awal.
“Masa nak masuk dalam dewan itu, saya berasa agak gemuruh juga la… sampaikan kaki saya menggeletar. Tapi Alhamdulillah, majlis pertunangan saya dan Tasha berjalan dengan lancar.
“Kami rancang ikatan pertunangan ini dalam tempoh setahun tapi sekiranya diberikan rezeki awal, insya-Allah majlis pernikahan kami akan diadakan dalam tahun ini juga,” katanya.
Sementara itu, Tasha atau nama sebenarnya Nur Natasha Ahmad Nawawi, 22, berkata dia terpikat dengan sikap Ayie yang mementingkan keluarga dan layak untuk dijadikan suami.
“Saya melihat Ayie ini seorang yang sangat mementingkan keluarga dan dia juga seorang lelaki yang boleh dijadikan sebagai suami.
“Memang pada mulanya, timbul perasaan cemburu kerana dia digilai peminat wanita tapi tiga tahun perkenalan membuatkan saya lebih memahaminya,” katanya.
Lalu, foto majlis berkenaan turut dibanjiri komen peminat yang turut sama tumpang gembira atas ikatan pertunangan antara pasangan dua merpati sejoli itu.
Foto: Instagram Ayie Elham