“Masa Usia 36 Hingga 39 Tahunlah Ujian Bertalu-Talu Sampai” – Puteri Sarah Anggap Tanda Allah Sayang

Share

Berdepan isu rumah tangga, pelakon Puteri Sarah Liyana menganggap seseorang yang berada dalam fasa umur 36 hingga 40 tahun akan diuji dengan ujian yang besar dalam kehidupan mereka.

Sarah atau nama sebenarnya, Puteri Sarah Liyana Megat Kamaruddin, 37, berkata setiap individu yang diuji itu adalah sebagai bukti Tuhan masih menyayangi hambaNya.

“Mereka yang berusia 36 tahun nak ke usia 40 tahun ini, memang Allah uji kesabaran tahap enam. Tak kira lelaki atau perempuan. Di usia itulah juga penentu bagaimana sikap kalian nanti apabila mencecah usia 40 tahun.

“Masa usia 36 hingga 39 tahunlah ujian bertalu-talu sampai dan kalian akan rasa macam tak cukup tanah nak berlari. Masa inilah ada rumah tangga yang gagal, hilang kerjaya, mula sakit, dikhianati sahabat sendiri, di uji dengan masalah kewangan, anak-anak membesar dan banyak akal.

“Ini adalah usia kemuncak ujian Allah paling dahsyat. Kenapa? Tidak lain tidak bukan, jawapannya adalah Allah sayang. Dia jemput kita perlahan-lahan untuk meniti usia 40 dengan tenang. Bersedia untuk masuk ke alam lebih dewasa. Meninggalkan usia fasa muda yang lalu.

“Dia nak kita sujud dan istighfar kepadaNya atas silap dan kealpaan yang lalu. 30 tahun hidup di dunia. Apa yang kita sudah buat? Masuk sahaja usia 40 tahun, ‘all is new’,” tulisnya di Instagram.

Menurut isteri kepada pengarah dan pelakon Syamsul Yusof, 38, itu sebaik seseorang itu menginjak usia 40 tahun, mereka seharusnya sudah mencapai titik ketenangan yang sebenar selain mendekatkan diri kepada Maha Pencipta.

“Hati lebih sabar, tenang, bahagia, sempurna, nampak arah tujunya serta mensyukuri nikmat dan reda dengan kekurangan.

“Masuk usia 40 tahun, sepatutnya kita sudah tenang. Sudah tidak fikir lagi hal dunia. Semua amalan diikhlaskan untuk akhirat kelak. Sedetik lebih pun tidak akan mengeluh.

“Itupun jika kalian selesai dengan jayanya menduduki ‘final exam sebelum usia 40’. Tapi, jika kita ini asyik ulang silap yang lepas, diusia 40 nanti sama saja perangai sampai ke tua.

 

“Nabi Muhammad, Allah tingkatkan darjatnya di usia 40 kepada Rasulullah. Baginda mula berdakwah secara terang. Sebelum menjadi Rasulullah, berapa kali baginda dihina dan dikasari. Hidup ini, yang perlu ditanam dan pasak dalam hati adalah sabar. Yang perlu diamalkan setiap malam adalah tahajud. Yang perlu ada dalam hati hanya Tuhan Yang Maha Esa,” tulisnya lagi.

Sekadar informasi, Sarah baharu sahaja pulang ke tanah air selepas mengerjakan ibadah umrah serta bercuti di Turki bersama dua cahaya matanya, Syaikhul Islam, 5, dan Sumayyah, 3 tahun.

Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara, jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik di sini.

Foto:  Instagram Puteri Sarah

Published by
Juliana Johar