“Masanya Tepat Untuk Saya Kongsi Gaya Kegemaran,” – Jual Baju ‘Street Wear’ Sendiri, Semua Orang Boleh ‘Jadi’ Macam MK K-Clique!

Share

Sebagai jaminan masa depan, penyanyi rap terkenal MK K-Clique kini muncul dengan jenama pakaian ‘street wear’ yang dikenali sebagai Threeotwo (302).

Diilhamkan oleh dirinya sendiri bersama bantuan ‘skuad’ kreatifnya, MK atau nama sebenarnya, Muhammad Hairi Amin, 25, menyimpan hasrat semoga jenama yang baru diusahakan ini menjadi satu ‘branding’ yang besar di peringkat serantau.

“Perkataan ‘threeotwo’ itu membawa maksud hukuman gantung sampai mati. Perkataan ini juga menjadi tanda dagang saya kerana sering saya sebutkan dalam lagu rap yang dihasilkan.

“Kiranya dalam rap, saya seperti seorang yang menjatuhkan hukum. Memandangkan perkataan tersebut sinonim dengan saya malah peminat pun sudah sedia maklum, jadi saya gunakan ia untuk jenama bisnes sulung saya ini. Lebih mudah untuk diingati,” katanya kepada MH.

Ditanya sejauhmana keterujaannya di dalam mengusahakan jenama pakaian tersendiri ini, bintang asal Tawau, Sabah ini mengakui dia ingin berkongsi citarasa di dalam fesyen dan gaya hariannya bersama peminat.

“Sebelum ini mungkin ada yang kenali saya menerusi lagu sahaja. Jadi kini masanya tepat untuk saya kongsikan perihal gaya kegemaran pula.

“Malah saya sendiri tidak sangka bila kebanyakannya teruja dan tidak sabar untuk menantikannya sebaik saya memberitahu akan mengeluarkan pakaian atas jenama sendiri.

“Jangan risau kerana harganya mampu milik dan sesuai. Saya faham peminat saya terdiri daripada pelbagai golongan. Mereka yang berminat boleh mendapatkan menerusi www.threeotwo.com atau menerus instagram.

Selain berkongsikan perkembangan terbarunya itu, MK turut ditanya mengenai penglibatan bersama jemaah tabligh baru-baru ini sehingga mencetuskan pelbagai spekulasi ramai.

Tegasnya, pembabitan bersama golongan itu bukanlah untuk berhijrah secara drastik seperti yang disangkakan. Sebaliknya dia memilih untuk ‘keluar’ untuk cari ilmu dunia akhirat.

“Saya sertainya untuk mencari keseimbangan. Ia juga sebagai antara cara saya untuk insafi diri selain mahu menjadi insan yang lebih baik berbanding sebelum ini.

“Kata orang, kalau nak berubah, kita sendiri perlulah usaha dan inilah cara yang saya lakukan. Alhamdulillah, setakat ini semua baik-baik saja,” katanya.

Dia pada masa sama turut menjawab persoalan mengenai kecaman yang diterima kerana masih berani untuk tayang badan di media sosial.

“Saya manusia biasa, tidaklah sempurna dan apa yang terpapar menerusi IG itu merupakan karektor diri. Bahkan, saya pun masih mencari rezeki termasuk di media sosial.

“Cuma kalau nak kaitkan ia dengan aktiviti keagamaan yang saya sertai tempoh hari, ia macam tak adil.

“Saya nak tegaskan di sini, saya tidaklah berubah serta-merta, cuma sedang cuba jadi Muslim yang lebih baik selain nak cari bekalan akhirat. Nak puaskan hati semua memang saya tidak mampu,” katanya lagi.

Foto: MK K-Clique

Published by
MH