Masih bersedih di atas kehilangan abang sulungnya pada malam Khamis lalu, pelakon dan pengacara, Uyaina Arshad menasihatkan pengikutnya di laman Instagram agar sentiasa menjalani pemeriksaan kesihatan berkala.
Menurut Uyaina, penyakit serangan jantung kini bukan lagi hanya menyerang golongan berusia sebaliknya, yang muda turut tidak terkecuali.
Abang sulung, Uyaina, Dr. Mohd Attaful Uzair Arshad, 35, meninggal dunia akibat serangan jantung ketika melakukan aktiviti berbasikal pada malam Khamis lalu.
“Memang ajal tidak mengenal usia, kita mungkin rasa kita jaga makan, menjalani kehidupan sihat.
“Tapi saya nak pesan, jangan kita rasa diri kita sihat… kena rajin-rajin buat check up untuk periksa tahap kolestrol, jantung kita.
“Serangan jantung bukan lagi penyakit untuk orang berusia,” kata Uyaina.
Dalam video itu juga, Uyaina turut berharap agar kerajaan Malaysia dapat melakukan sesuatu memandangkan jadual kerja doktor yang sentiasa sibuk dan padat sehingga menyebabkan mereka kurang mendapat rehat yang secukupnya.
“Abang saya tidak merokok, umur 35 tahun, fit dan sihat. Betul, ajal dah tertulis di tangan Allah.
“Doktor punya kerja memang sangat memenatkan, harap sistem (kerja) doktor diperbaiki. Saya harap akan ada lebih banyak consideration daripada kerajaan.
“Tiada guna cuba lahirkan ramai doktor tapi at the end of the day, mereka kerja teruk-teruk… tiada siapa yang jaga mereka,” katanya.
Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara, jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik di sini.