Beberapa keping foto kereta mewah yang difahamkan telah disita Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah pun tular di media sosial hari ini.
Meski tiada perincian yang dibuat, namun ramai mendakwa kenderaan berkenaan yang disita dipercayai berkait rapat dengan siasatan terhadap kes penggubahan wang haram dan sindiket Macau Scam.
Bagaimanapun spekulasi lain turut timbul apabila ada yang mendakwa, salah satu foto kenderaan yang dimuat naik mirip kenderaan yang dimiliki pelawak dan penyampai radio, Shuib.
Pengarah Urusan Indigital Music, Nana Mohd Rom ketika diminta mengulas mengenai perkara terbabit memohon maaf kerana tidak dapat membuat sebarang kenyataan mengenai dakwaan tersebut.
Nana Mohamad turut menjelaskan, Shuib akan menjelaskan beberapa perkara termasuk spekulasi yang tular di media sosial selepas urusannya dengan SPRM selesai.
“Maaf, buat masa ini kami tidak boleh memberikan sebarang kenyataan berkaitan hal tersebut memandangkan kes ini masih dalam siasatan SPRM.
“Kami harap semua pihak faham atas situasi yang berlaku.
“Betul atau tidak itu kereta Shuib sebagaimana yang didakwa, biarlah orang di luar terus berspekulasi,” katanya.
Ditanya mengenai kehidupan Shuib serta isterinya yang juga penyanyi Siti Sarah, Nana memberitahu keduanya tetap meneruskan kerja seperti biasa.
“Shuib masih kerja macam biasa, begitu juga dengan Sarah. Komitmen sedia ada masih lagi diteruskan tanpa ada apa-apa masalah.
“Terima kasih atas doa dan semangat positif yang diberikan,” katanya ketika dihubungi MH.
Sebelum ini, Indigital Music menerusi satu kenyataan memaklumkan artis mereka, Siti Sarah Raissuddin hanya menemani suaminya, Shuib Sepahtu ketika pelawak itu hadir ke ibu pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Putrajaya, pada Khamis.
Selebriti itu dipanggil bagi membantu siasatan dipercayai berkaitan kes pengubahan wang haram.
Media sebelum ini turut melaporkan, SPRM telah membeku kira-kira 750 akaun milik ahli sindiket Macau Scam dan Perjudian melibatkan nilai RM75 juta.
Selain itu, SPRM turut menyita rumah serta 24 kereta mewah milik lapan individu yang ditahan baru-baru ini termasuk lima daripadanya adalah milik seorang lelaki bergelar datuk.