“Masih Minat Menyanyi Cuma…,” – Pernah Ada Single & Aktif Berlakon Sejak Kecil, Erna Elliyana Kini Komited Fokus Bisnes

Share

Usahawan Erna Elliyana Rosli,33, yang sebelum ini pernah terlibat seni sebelum memberi fokus penuh terhadap dunia perniagaan mengakui hatinya masih belum tertutup untuk kembali memeriahkan bidang nyanyian dan lakonan.

Bagaimanapun Erna berkata, sekiranya punya ruang masa untuk kembali aktif, penglibatannya dalam dunia hiburan tidaklah serius, sebaliknya hanya untuk projek istimewa.

Erna sebelum ini aktif menyanyi selepas menyertai sebuah pertandingan nyanyian dan muncul dengan beberapa single selain berlakon.

“Saya bersama suami, Syed Mahadzir Fadaak mulai menceburkan diri dalam bisnes sejak 2015 lagi. Sejak itulah kami beri komitmen penuh terhadap apa yang dilakukan sekarang. Memang masih minat menyanyi, cuma sampai satu tahap, saya merasakan adakah ini yang saya mahu.

“Tempuhi cabaran demi cabaran, akhirnya saya kongsikan hasrat kepada suami untuk terus komited fokus dalam bisnes. Ramai yang bertanya mengenai perkara ini sebenarnya. Jadi itulah jawapan saya. Saya percaya dengan aturan dan rezeki Allah SWT.

“Kalau buat lagu sekali pun selepas ini, ia hanyalah untuk penuhi minat. Tidaklah untuk meletakkan harapan sebagaimana sebelum ini. Begitu juga dengan lakonan meski ada di antara ahli keluarga pun terlibat secara langsung dalam dunia hiburan,” katanya.

Erna berkata demikian ketika ditemui pada majlis Rumah Terbuka Alpha Raya di The Marquee @ Puteh Subang, pada Sabtu.

Ia turut diserikan dengan persembahan oleh Ayu Damit, Datin Alyah dan Ziana Zain.

“Majlis rumah terbuka ini bersempena dengan ulang tahun pertama Kamya Glow yang turut disokong oleh Alpha Capital Berhad.

“Bila menonton video ulang tahun pertama kami, saya terbayang perjalanan Kamya Glow. Daripada awal sehingga sekarang, rupanya sudah banyak yang dilakukan dalam usaha memperkenalkan jenama ini. Saya bersyukur, puas hati dan berbangga dengan pencapaiannya.

“Kalau nak diikutkan, Kamya Glow masih lagi ‘bertatih’ dalam industri lingkungannya, akan tetapi kami tidak bersaing dengan produk kesihatan dan gaya hidup sedia ada. Sebaliknya, saingan kami adalah diri sendiri. Kami hanya mahukan yang terbaik dari semasa ke semasa. Sebab saya percaya, siapa yang laju dialah yang akan maju.

“Malah, penerimaannya di kalangan pengguna yang kami gelar sebagai KamyaLovers juga positif. Setiap hari, ada sahaja maklum balas yang diterima sama ada menerusi telegram atau di media sosial,” katanya.

Malah, Erna pada masa sama optimis meneruskan legasi Kamya Glow menerusi beberapa projek terbaharu meski pada peringkat awal pelancaran, mereka berdepan kekangan susulan penularan Covid-19.

“InsyaAllah dalam beberapa bulan yang akan datang, kami akan mengeluarkannya dalam bentuk tablet dan kolaborasi bersama dalam kosmetik serta penjagaan rambut. Usaha ini dilakukan bagi memperkukuh seterusnya memperkenalkan jenama ini kepada lebih ramai pengguna di luar sana.

“Jujurnya saya tidak nafikan risiko mengeluarkan jenama ketika negara berdepan fasa pandemik bukan mudah. Mahu tidak mahu, kami kena teruskan pelancarannya. Jadi formula promosi lain perlu difikirkan.

“Kami banyak lakukan strategi menerusi media sosial bersama Remy Ishak (bekas duta) ketika itu dan terbaru Datin Alyah serta beberapa wajah wakilan lain. Saya faham bila jual produk, kita tidak boleh bergantung kepada dalam talian sahaja. Perlu berjumpa dengan pengguna dan sebagainya.

“Tapi itulah cabarannya pada waktu itu. Kalau tidak belajar susah, bagaimana nak berjaya. Banyak yang kami pelajari, apa yang perlu ditambah baik. Penghargaan juga saya dedikasikan kepada ‘team’ Kamya Glow. Syukur sekarang semuanya kian baik,” katanya lagi.

Erna bersama Kamya Glow turut menerima anugerah The Brandlaureate-Bumiputera Best Brand Award bagi kategori Health And Beauty menerusi Kamya Glow, Mac lalu.

Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan, klik di sini.

Published by
MH