Rentetan isu pengunduran diri pelawak, Shuib daripada program Sepahtu Reunion Live (SRL), pelawak dan penyampai radio, Jep Sepahtu memaklumkan dia akan selamanya menyanyai rakan seperjuangannya itu.
Jep atau nama sebenarnya Muhd Nadzri Zainal Abidin berkata sedemikian ketika menjawab pertanyaan netizen sewaktu sesi siaran langsung di aplikasi Tik Tok.
Video berkenaan kemudiannya tular di platform yang sama.
Jelas Jep, walau apapun yang terjadi, hubungannya bersama sahabatnya itu tidak akan pernah putus.
“Mestilah sayang. Saya sayang kawan-kawan saya. Yang saya cerita baru-baru ini hanyalah penjelasan keadaan. Takkan disebabkan hal itu kami nak bermusuh atu tidak berkawan lagi.
“Lagipun, penulisan tersebut tidak menyentuh perkara lain tetapi kenyataan berhubung isu berbangkit.
“Shuib atau Mamat, mereka kedua-duanya kawan saya daripada kampung lagi. Mamat tu lagilah, kawan daripada kecil,” katanya.
Dalam pada itu, Jep turut merasakan ada kalanya sahabat baik tidak sesuai untuk berkerja bersama.
“Dalam kehidupan ini, memang ada individu yang kita sangat selesa berkawan tapi bukan untuk berkerja. Untuk bekerja, ada individu lain pula.
“Sebagai contoh, katakanlah kita berkawan dengan seseorang itu sejak kecil, tak bermakna pekerjaan kita mesti kena sama.
“Setiap orang ada kehidupan masing-masing tapi persahabatan akan kekal. Janganlah sebab kita tak boleh bekerjasama ketika berkerja, kita dah tak boleh berkawan.
“Ada kalanya orang luar tak faham dan buat andaian sendiri. Hal ini langsung tak mengusik tali persahabatan kami. Ia tak berubah dan tetap begitu,” ulasnya lagi.
Pada masa sama, penyampai radio Sinar FM itu tetap mahu menghargai Shuib sebagai teman jatuh bangun sejak berkecimpung di dalam dunia seni.
“Saya dan Shuib tiada masalah apa-apa. Dia merupakan orang yang menemani perjalanan seni saya. Apa yang saya ceritakan hari itu hanyalah penjelasan agar kisah ini tidak tergantung atau menjadi fitnah.
“Ukhwah dan silaturrahim ini adalah yang paling penting. Namun, tak perlulah kita tunjuk atau pamer kat orang,” ulasnya lagi.
Katanya lagi, dia juga tidak mahu bermasam muka dengan sesiapa lebih-lebih lagi ketika usia sudah meningkat.
“Umur dekat 40 ni buat apa gaduh-gaduh atau bermasam muka. Saya tiada masa untuk itu.
“Banyak lagi masa-masa yang lebih bermanfaat untuk saya fikir. Contohnya untuk keluarga, anak-anak dan kawan-kawan,” akhirinya.
Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik di sini.
Sumber & Kredit Foto: Instagram Jep Sepahtu & Tik Tok Yiennn