Pengarah dan pelakon, Majed Salleh dilaporkan telah meninggal dunia awal pagi tadi di Hospital Selayang selepas mendapatkan rawatan akibat masalah jantung sejak dua minggu lalu.
Memetik laporan Harian Metro, khabar duka itu disahkan sendiri isteri Allahyarham, Nur Shida Mohd Zikir.
Rasa sayu turut dikongsikan oleh adik ipar Allahyarham yang juga merupakan pelakon dan penyanyi terkenal, Shiha Zikir.
“Mohon sedekahkan Al-Fatihah buat Almarhum. Semoga diampunkan segala dosa-dosanya dan tergolong bersama golongan beriman. Aamiin Ya Allah.
“Masih tak percaya. Rasa nak padam semula post tadi,” tulisnya di Instagram.
Menjengah ke ruangan komen, rata-rata netizen dan rakan selebriti menitipkan ucapan takziah serta memanjatkan doa agar mereka sekeluarga kuat menghadapi ujian berat ini.
Sementara itu, Nur Shida berkata, arwah suaminya disahkan meninggal dunia disebabkan komplikasi jantung yang mengakibatkan kegagalan organ buah pinggang dan hati.
Sebelum ini, Allahyarham Majed pernah dikejarkan ke wad kecemasan di Hospital Selayang pada 17 Julai lalu kerana keadaan jantung yang lemah dan badan juga bengkak.
Malah, keadaan pengarah drama Gerak Khas dan Metro Squad ini turut dilaporkan kritikal apabila fungsi jantungnya tinggal 25 peratus sahaja.
Bagaimanapun, difahamkan arwah sudah menjalani pembedahan perentak jantung (alat elektronik atau bateri yang dipasang untuk mengawal degupan jantung) di Hospital Serdang, sebulan yang lalu.
Dalam pada itu, Shiha turut memaklumkan jenazah Allahyarham akan disembahyangkan di Masjid Al-Khairiah, Taman Sri Gombak dan akan dikebumikan selepas Solat Jumaat.
”
Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik di sini
.Sumber & Kredit foto: Instagram Shiha Zikir dan Harian Metro