Penampilan ‘wow’ yang digayakan aktres Rozita Che Wan di Anugerah MeleTOP Era (AME2021), Ahad lalu ‘memancing’ perhatian netizen.
Memilih busana serba oren bersama perincian kembang di bahagian atas bahu, Rozita atau lebih mesra dengan panggilan Che Ta mempunyai sebab tersendiri menggayakan fesyen seperti itu buat pertama kali.
Menurut Che Ta, dia hanya mengikut tema, apatah lagi keberadaannya ketika itu adalah sebagai penyampai anugerah.
“Tema dia Met Gala, jadi lain daripada yang lain lah. Distailkan oleh Abu dan persalinan ini daripada Kuntum.
“Ya pertama kali mengenakan persalinan sebegini kerana tema. Selalu temanya ‘glam’, extravaganza tapi kali ni temanya Met Gala. Jadi inilah hasilnya,” katanya.
Che Ta lagi juga turut menjelaskan sebagai tetamu yang dijemput adalah wajar untuk mengikut dan menghormati permintaan ‘tuan rumah’.
“Bila kita menghadiri sesuatu majlis itu, kita cuba menghormati tuan rumah dengan mengikut tema yang diberikan.
“Saya punya stylist mengikut tema, jadi saya cakap dengan dia tidak perlu yang terlalu over sangat. Mungkin saya rasa warna busana ini yang menarik perhatian.
“Macam saya kalau hadiri mana-mana majlis anugerah, pakai putih atau hitam. Jadi kali ini mahukan ‘colour’. Misalnya kalau hari biasa pun, saya kerap pakai yang berwarna.
“Jadi saya cakap dengan stylist mahu warna oren. Jarang orang pakai, tapi hari ini (AME2021) ada tiga orang pakai warna sama,” seloroh Che Ta.
Tidak ambil hati dengan usikan netizen terhadap gaya yang ditampilkan, Che Ta berkata masing-masing mempunyai pendapat tersendiri.
“Mereka boleh komen apa yang mereka nak komen sebab mungkin ada yang tak tahu apa alasan kita (tema) jadi saya okay je.
“Masing-masing ada minat, kesukaan dan pendapat yang berbeza. Saya ada pendapat saya. Mereka boleh lontarkan apa yang mereka rasa, tetapi hanya kita yang tahu dan ada sebab mengapa bergaya seperti ini,” jelasnya.
Che Ta pada masa sama turut tumpang gembira dengan kemenangan rakan artis, Fasha Sandha menerusi kategori Pelakon MeleTop.
Terdahulu, AME2021 bersiaran secara langsung dari Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), selepas mengalami beberapa kali penangguhan majlis akibat penularan Covid-19.
Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan, klik di sini .