Akhirnya, figura di sebalik topeng Mat Penyu di program hiburan realiti The Masked Singer musim kedua telah terbongkar selepas pelakon, Zul Huzaimy diumumkan sebagai peserta tersingkir di saingan konsert minggu keenam.
Ketika di akhir siaran rancangan program tersebut, pelakon filem KL Menjerit ini tetap menzahirkan rasa gembira meski tidak berjaya mara untuk ke saingan peringkat seterusnya.
“Sejujurnya, perasaan saya sedih lah bila tak dapat nak teruskan ke peringkat seterusnya. Namun begitu, saya tetap berasa seronok,” luahnya.
Dalam pada itu, Zul atau nama sebenarnya Zul Huzaimy Marzuki tidak menyangka apabila juri tetap Datuk Aznil Haji Nawawi dapat meneka namanya di sebalik topeng Mat Penyu, pada saingan konsert minggu kedua.
“Sebenarnya, saya tak jangka pada minggu kedua apabila Pak Nil dapat meneka nama saya.
“Saya dah dapat agak dari awal lagi sebab saya pernah menyanyi bersama Pak Nil sebelum ini dan kami pun memang rapat,” katanya lagi.
Di samping itu, pelakon berusia 43 tahun ini turut memberitahu ini merupakan kali pertama dia menyertai pertandingan program nyanyian.
“Saya tak pernah menyanyi dalam mana-mana program yang berbentuk pertandingan, menyanyi biasa tu pernah lah.
“Tapi untuk pertandingan ini merupakan kali pertama saya bersama dengan barisan penyanyi profesional,” dedahnya lagi.
The Masked Singer Malaysia musim kedua telah menyaksikan seramai sembilan juri tetap iaitu Datuk Aznil Haji Nawawi, Ella, Ramona Zamzam, Michael Ang, Amy Mastura, Raja Azura, Zizan Razak, Remy Ishak dan Angah Raja Lawak.
Program yang dihoskan oleh Datuk AC Mizal ini bersiaran pada setiap hari Jumaat, jam 9 malam di saluran Astro Warna HD (107), mulai 28 Januari 2022.
Berlangsung selama 10 minggu, sesi rakaman The Masked Singer Malaysia musim kedua diadakan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC).
Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik di sini.
Foto: Instagram Zul Huzaimy
Download aplikasi seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI