Kembali untuk musim kelima, Big Stage 2023 yang bakal memulakan siarannya pada 7 Mei depan mempertaruhkan seramai 14 peserta BBNU bersaing merebut gelaran juara.
Menariknya, Big Stage 2023 turut membuatkan kelainan dengan memperkenalkan hos baharu iaitu Elly Mazlein selain penyanyi Aina Abdul muncul selaku juri tetap.
Menurut Ketua Saluran Astro Ria, Norzeha Mohd Salleh, pelbagai pembaharuan yang dilakukan antaranya barisan juri, pengacara dan pemilihan peserta.
“Pembaharuan turut melihat kami memilih hos baharu yang kaya dengan pengalaman dalam mengemudi acara-acara gah. Kak Lina Pom Pom ternyata unggul dengan membuktikan bahawa dia adalah hos spontaneous dan lincah ketika mengemudi acara-acara besar.
“Barisan juri turut melihat muka-muka baharu. Aina Abdul, antara penyanyi yang menjadi aspirasi untuk bakat-bakat muda, menggalas tugasan menjuri perserta-peserta muda. Dia adalah ikon, dan pastinya kata-kata memberangsangkan mereka untuk menjadi hebat lagi,” katanya kepada MH.
Zeha ditemui pada majlis sidang media Big Stage 2023 yang diadakan di Damansara Perdana, Selangor pada Selasa.
Sementara itu, pihak produksi turut membuat kejutan apabila hanya akan mengumumkan rakan pengacara bersama Elly pada minggu pertama konsert selain seorang lagi juri tetap selain Aina.
Aina ketika ditemui berkata dia bersyukur dipilih sebagai juri yang mana merupakan antara impiannya untuk berkongsi segala pengalaman yang dipelajarinya sepanjang hampir sedekad terlibat dalam bidang seni.
Menggunakan pendekatan akan berterus-terang dan menjadi seorang juri yang tegas, Aina berkata dia ingin melihat kesemua peserta dapat mengeluarkan potensi diri mereka dalam membawakan kepelbagaian genre muzik selari dengan format program Big Stage.
“Kalau ikutkan personaliti, saya seorang yang tegas dan serius.. jadi saya akan komen secara jujur apabila melihat persembahan mereka kelak.
“Yang penting, saya mahu gunakan platform ini agar dapat sama-sama berkongsi ilmu dan pengalaman yang sudah saya pelajar selama ini dengan mereka,” katanya.
Antara yang akan bersaing dalam Big Stage 2023 adalah Isaac Voo, Firdaus Rahmat, Meer Nash, Naufal Azrin, Aufahanie, Puteri Khareeza, Putera Muhammad, Nadeera Zaini, Dem Lepak Boyz (Duo) serta kumpulan M-pop perempuan, COEX yang terdiri daripada Mikaela Qistina, Amy Loh, Dalini, Eyqa Shahidan dan Elysha Khan.
Empat peserta lain yang turut tersenarai berasal dari Brunei Darussalam, Indonesia, Singapura dan Korea Selatan yang akan diperkenalkan pada konsert minggu pertama kelak.
Buat julung kalinya, Big Stage edisi kali ini menampilkan peserta berkumpulan dan duo sebagai bintang yang akan bersaing bersama di atas pentas untuk memberi lebih ruang kreativiti dan versatiliti dalam setiap persembahan bagi merebut gelaran sebagai juara buat edisi terbaharu ini.
Juara Big Stage 2023 akan membawa pulang wang tunai bernilai RM100,000 beserta trofi sumbangan Astro. Manakala tempat kedua dan ketiga akan membawa pulang RM30,000 dan RM25,000 beserta trofi, tempat keempat, tempat kelima dan tempat keenam masing-masing akan menerima RM15,000, RM5,000 dan RM5,000 beserta trofi.
Big Stage 2023 akan bersiaran mulai 7 Mei, setiap Ahad, jam 9.00 malam di Astro Ria (saluran 104).
Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara, jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik di sini.