Pelakon Meerqeen menepis dakwaan yang kononnya dia bercium dengan Mimi Lana di sebuah kelab malam seperti yang tular diperkatakan di media sosial, September lalu.
Meerqeen atau nama sebenarnya, Muhammad Shameer Shauqeen Shaiful Izam, 22, berkata dia tidak mungkin berbuat demikian, susulan aktres terbabit dianggap sebagai kawan.
“Tak mungkin saya akan buat perkara itu. Saya dan dia kawan. Ketika cerita itu timbul saya tidak ada di Kuala Lumpur kerana terlibat dalam penggambaran.
“Ia tidak berlaku langsung. Saya pun terkejut apabila terbaca mengenai perkara terbabit,” katanya.
Meerqeen mengulas mengenai perkara itu ketika ditemui pada majlis Pra Pelancaran Filem Klepet di Putrajaya pada Rabu.
Dalam masa sama dia juga menolak dakwaan menjadi punca keretakan hubungan antara Mimi dan Syafiq Kyle.
Malah dia juga sudah berhubung dengan Syafiq bagi menjelaskan keadaan sebenar.
“Kami dalam lingkungan sahabat yang sama. Tak mungkin saya buat perkara sebgitu. Saya dan Mimi hanya rakan sahaja. Begitu juga dengan Syafiq.
“Saya juga telah berhubung dengan Syafiq bagi menjelaskan perkara sebenar. Kami sudah ‘man to man talk’,” katanya lagi.
Sementara itu, Meerqeen juga selesa mengambil langkah untuk berdiam apabila gosip tersebut tular di media sosial.
Menurutnya sebagai selebtiti, kehidupannya sentiasa menjadi perhatian dan dia tidak perlu untuk memuaskan hati semua pihak.
“Semakin lama kita dalam industrri pasti akan ada orang yang tidak suka dan mahu menjatuhkan.
“Kenapa saya perlu jawab untuk puaskan hati semua orang. Lebih baik saya berdiam. Cukuplah keluarga tahu apa yang saya buat,” katanya lagi.
Terdahulu, timbul dakwaan dua orang selebriti dikatakan bercium di sebuah kelab malam malah nama Meerqeen disebut-sebut sebagai pihak yang terlibat.
Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan, klik di sini