Melly Goeslaw Pakai 4 Persalinan ‘Out Of Box, Permaisuri Agong Turut Cemar Duli & Tribute Buat P.Ramlee, Konsert Berjalan Sempurna!

Share

Penyanyi dan komposer terkenal Indonesia mencipta kenangan tersendiri bersama para peminatnya di negara ini apabila hampir 3,000 penonton menyaksikan persembahannya pada Konsert Ada Apa Dengan Melly? Live in Kuala Lumpur, malam tadi.

Selain naskhah kreatif yang disuntik dengan bait lirik puitis, figura ini turut ‘memancing’ perhatian penonton menerusi persalinan ‘eksentrik’ yang digayakan sepanjang hari pertama konsert.

Sebanyak empat rekaan busana bersilih ganti ditukar pada setiap segmen, Melly membuka tirai konsert tepat jam 9 malam dengan lagu Ingin Mencintai & Dicintai.

Tampil dengan pakaian unik berbentuk simetri beserta ‘birthday hat’ bersaiz besar, Melly kelihatan cukup ‘karnival’ dengan penampilannya itu.

Diselang-selikan dengan sesi menyapa peminat di Malaysia, ternyata pemilik nama sebenar Meliana Cessy Goeslaw, 49, ini mempunyai sifat humor yang cukup menebal hingga membuatkan ramai yang terhibur dengan celotehnya.

Antara lagu-lagu yang dimainkan pada segmen pertama seperti Tentang Dia, Pujaanku, Suara Hati Seorang Kekasih dan Bimbang.

Melly kemudiannya mengenakan pakaian serba hitam dan kemudian muncul yang kelihatan ‘sedikit normal’ dengan gaun kembang berwarna hitam sedondon dengan topinya.

Kemudian tampil pula dengan imej headgear ‘trojan’ yang dipadankan dengan persalinan perincian rona kelabu.

Dalam pada itu, dia juga percaya muzik bersifat universal dan perbezaan bahasa langsung tidak menjadi penghalang untuk sama-sama menghayati apa pun jua karya seni dari seluruh dunia.

“Sebenarnya malam ini saya berdoa apa yang katakan akan difahami kamu-kamu di sini sebab kita ada sedikit perbezaan (bahasa) tapi bila datang tentang seni dan muzik, ia langsung ia langsung tidak mengenal apa itu perbedaannya.

“Macam kita tengok drama Korea dan Turki, kita faham dengan tengok subtitle, jadinya hasil karya seni itu memang boleh dinikmati semua, tidak ada halangannya.

“Ini juga merupakan kali pertama saya tampil membuat konsert di Malaysia dan ternyata kalian cukup beruntung sekali,” katanya.

Suasana konsert turut terasa dekat di hati apabila rata-rata penonton hadir berpakaian sekolah bagi mengikut tema Back To School seperti yang disarankan penganjur, Icon Entertainment.

Mengimbau kenangan filem Ada Apa Dengan Cinta (AADC), Ratu Soundtrack (OST) ini kemudiannya menghangatkan pentas dengan lagu-lagu nostalgia seperti Tentang Seseorang, Jika, Gantung, Ratusan Purnama serta OST filem AADC, Ada Apa Dengan Cinta yang membawa nama Melly cukup dikenali di Malaysia.

Melly turut menyanyikan lagu-lagu yang diciptakannya untuk penyanyi lain bagi memberikan variasi mood pada malam konsert.

Menariknya, Melly turut mengabadikan segmen tribute khas buat Seniman Agung Negara, Allahyarham Tan Sri P. Ramlee dengan membawakan lagu Di Mana Kan Ku Cari Ganti serta Bunyi Gitar.

Menghampiri ke penghujung konsert, Melly tampil dengan lagu-lagu rancak seperti Ku Bahagia, Bagaikan Langit dan Tak Tahan Lagi yang mengajak penonton untuk sama-sama menari.

Menutup tirai dengan lagu Hanya Memuji nyanyian asal Marcell dan Shanty, ternyata penonton merasa cukup puas dengan persembahan 27 buah lagu dalam durasi masa tiga jam konsert berlangsung.

Konsert ini turut dihadiri VVIP iaitu Ke Bawah Duli Yang Teramat Mulia (KDYMM), Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah dan DYMM Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin.

Selebriti popular tanah air juga dilihat turun memberikan sokongan seperti Datuk Seri Siti Nurhaliza, Fazura, Amy Search, Misha Omar, Syafiq Kyle, Mimi Lana, Puteri Aishah dan Nuha Bahrin.

Tidak ketinggalan, rakan-rakan Melly dari Indonesia turut hadir iaitu Rossa, Yuni Shara, Mayang Sari dan Raffi Ahmad.

Malam kedua Konsert Ada Apa Dengan Melly?, hari ini turut berjalan di lokasi sama iaitu di Plenary Hall, KLCC.

Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara, jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan, klik di sini.

Published by
Juliana Johar