“Memadai Andai Kami Dapat Berhubung Untuk…,” – Anzalna Pasang Niat Murni, Mahu Bantu Keluarga Allahyarham Nur Surya

Share

Pelakon Anzalna Nasir mengakui terkesan dengan berita pembunuhan seorang remaja, Siti Nur Surya Ismail di Kampung Lubok Batu, Telemong, Terengganu pada Isnin.

Tidah mahu mengulas lanjut mengenai kejadian yang berlaku kerana ia masih dalam siasatan pihak berkuasa, Anzalna, 32, bagaimanapun terpanggil untuk berkongsi rezeki, membantu keluarga mangsa.

Malah, perkara tersebut turut dinyatakan ibu kepada seorang cahaya mata ini menerusi satu status di Insta Stories miliknya.

Ketika dihubungi, Anzalna menzahirkan ucapan terima kasih kepada pengikutnya yang turut sama-sama membantu bagi mengesan keluarga arwah.

“Saya ada terima banyak mesej mengenai hal yang berkaitan. Cuma setakat ini masih belum dapat nombor yang betul-betul sahih untuk dihubungi atau berurusan.

“Terima kasih atas ikhtiar semua. Semoga keluarga arwah kuat menghadapi dugaan ini dan saya berdoa agar semuanya dipermudahkan” katanya sambil merakamkan ucapan takziah.

Ditanya apa yang membuatkan dirinya terpanggil untuk tampil menghulurkan sumbangan, Anzalna mengakui niatnya hanyalah untuk meringankan beban, khasnya buat ibu arwah.

“Saya difahamkan ibunya, Zaini Musa turut menghidap kanser dan jujurnya, apabila terbaca mengenai insiden yang berlaku, saya rasa sayu.

“Apa yang kita akan rasa andai kita ditimpa musibah dan ini adalah ujian yang sangat berat bagi keluarga arwah. Jadi saya berbincang dengan suami dan dia turut terbuka dengan niat ini.

“Benar dalam situasi sekarang tidak mungkin saya boleh bertemu atau ke kediaman keluarga mangsa.

“Tetapi memadai andai kami dapat berhubung untuk sekurang-kurangnya membantu keluarganya, terutama ibu Allahyarham,” jelas Anzalna.

Anzalna sebelum ini sinonom dengan kerja amal, sama-sama membantu keluarga dalam kesempitan, termasuk kanak-kanak yang menghidap kanser sejak 2014 lalu.

IKLAN