Pelakon veteran, Jalil Hamid menjelaskan dia mengalami penurunan berat badan kira-kira 30 kilogram (Kg) selepas mengalami masalah jantung selain hilang selera makan sejak setahun lalu.
Jalil atau nama sebenarnya, Abdul Jalil Abdul Hamid, 66, bagaimanapun bersyukur kerana keadaan kesihatannya sudah beransur pulih walaupun tidak sekuat dahulu.
“Alhamdulillah keadaan kesihatan saya menunjukkan perkembangan yang lebih baik berbanding sebelum ini.
“Sebelum ini saya langsung tak boleh makan. Bila makan saja, mesti muntah. Saya hanya boleh makan sesuatu yang cair dan halus seperti bubur. Itu yang badan saya susut mendadak daripada 98kg kepada 69kg.
“Sekarang ini saya masih berjumpa doktor di hospital kerana mereka syak saya ada masalah jantung kerana selepas menjalani pembedahan tahun lalu, jantung saya bengkak.
“Ada waktu saya disuruh duduk di wad tapi saya tolak. Lagipun saya rasa masih boleh lawan lagi. Tapi sekarang saya tak boleh nak memandu, memandu lebih dari lima minit, saya jadi ‘blank’,” katanya.
Jalil ditemui pada majlis Santai Selebriti Bersama Mufti Selangor di kediaman pasangan selebriti Diana Rafar dan Zamarul Hisham, semalam.
Menurut Jalil, disebabkan masalah kesihatan yang dihadapi dia mengaku berdepan kesulitan hidup kerana tiada tawaran kerja.
“Dalam tempoh tiga tahun ini saya tidak berlakon, agaknya saya ‘direhatkan’. Terus terang saya hilang punca pendapatan.
“Saya hidup dengan apa yang orang berikan. Saya guna untuk membayar segala komitmen yang ada.
“Saya sedar orang tak tawarkan saya berlakon sebab saya tidak sihat. Produksi pun mungkin risau untuk ambil saya berlakon manalah tahu ketika penggambaran, saya ‘lenyap’ pula nanti produksi yang rugi.
“Namun begitu, apa yang boleh saya katakan hidup saya ini dalam dunia lakonan saja. Saya tak boleh buat kerja lain. Ia seperti orang beri makan nasi. Itu bidang saya, saya tidak boleh tinggalkan dunia lakonan,” katanya.
Dalam pada itu, Jalil meluahkan rasa syukur apabila menerima sumbangan berbentuk wang ringgit daripada rakan-rakan artis serta Lembaga Zakat Selangor.
“Saya tidak mahu susahkan anak-anak dengan masalah saya. Mereka juga ada komitmen yang perlu dibayar seperti membayar sewa rumah dan sebagainya.
“Sumbangan diberikan dapatlah bantu saya beli ubat-ubatan yang mencecah ribuan ringgit. Saya sangat menghargai sumbangan ini,” katanya.
Semalam, Jalil tersenarai antara salah seorang daripada 40 penerima sumbangan dari rakan-rakan artis dalam majlis yang turut dihadiri oleh Mufti Selangor, Datuk Dr Anhar Opir.
Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan, klik di sini