Pelakon Liza Abdullah,56, tampil menjelaskan mengenai penampilannya yang kerap dilihat mengenakan hijab menerusi mana-mana program yang dihadiri kebelakangan ini.
Menurut Liza atau nama sebenarnya, Norliza Abdullah, dia memilih untuk tidak memperbesarkan hal berkenaan, sebaliknya meminta dititipkan doa yang baik-baik buat semua.
“Memang ada yang bertanya mengenai penampilan saya yang sesekali dilihat mengenakan niqab. Tetapi saya pilih untuk tidak memberikan kenyataan sama ada berpenampilan begini untuk meninggalkan industri atau dah tak nk berlakon lagi.
“Bimbang juga kalau apa yang dikongsikan akan disalah erti nanti. Sebab kalau berlakon pun saya tidak mengenakan niqab.
“Sebaiknya ia tidak perlu untuk dijadikan isu. Lebih baik kita sama-sama mendoakan yang terbaik untuk semua orang termasuk diri-sendiri.
“Lebih-lebih lagi dengan situasi pandemik ketika ini. Jadi tiada salah bila saya pakai niqab bersama pelitup muka. Sekurang-kurangnya ia memberi perlindungan tambahan,” katanya kepada MH.
Mengulas mengenai watak antogonis yang begitu sinonim dengan dirinya, Liza akui tidak mahu selesa atau statik dengan watak sedemikian semata-mata.
Sebaliknya setelah hampir 40 tahun dalam seni, dia masih mahu cabar diri untuk mencuba pelbagai watak baru.
“Saya tidak cakap saya hebat, tapi saya tak nak tekankan satu karektor sahaja. Saya suka cabar diri sama ada menerusi watak air mata, komedi dan sebagainya. Kita sebagai pelakon kena cipta sesuatu yang istimewa dalam tiap watak yang dibawakan.
“Tak boleh statik. Kalau begitu saja, kita payah untuk berada lama dalam bidang seni. Kena jadi versatil. Saya pegang pada prinsip, bila ada peluang buatlah yang terbaik. Jadi kalau hanya nak statik pada satu karektor, tidak akan selamat (bertahan lama),” katanya lagi.
Liza yang kini menjadi duta kepada satu jenama tudung, bakal terlibat di dalam projek drama Tujuh Hari Mencintaiku 3 yang bakal memulakann penggambaran tidak lama lagi.
Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik di sini.
Foto: Instagram Liza Abdullah