Pentas Dansa Dan Sing yang bersiaran langsung di Auditorium Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) menyaksikan kumpulan Arja Lee & The Pirates telah tersingkir apabila memiliki markah terendah pada minggu keenam.
Arja atau nama sebenarnya Azharudin Ramli menjelaskan dirinya sudah menjangka bakal tersingkir pada minggu ini setelah 5 minggu berturut berada di tangga tiga tercorot.
“Arja memang jangka yang Arja bakal tersingkir pada malam ini dan saya ada bercakap dengan kumpulan saya selepas setiap minggu kumpulan kami berada di tangga tiga terbawah.
“Dan sudah terbukti malam ini kami tersingkir bagaimanapun saya tidak bersedih dan saya okey.
“Ini adalah sebuah pertandingan dan bukan kali pertama saya memasuki sebuah rancangan realiti televisyen.
“Untuk persembahan minggu ini, Arja rasa kekurangan dari segi permarkahan juri yang semakin ketat atau lebih teliti,” katanya kepada media.
Dansa Dan Sing menggabungkan elemen tarian dan seni suara itu menampilkan barisan juri tetap yang terdiri daripada Linda Jasmine dan Datuk Rizalman Ibrahim, manakala penyanyi Dayang Nurfaizah sebagai juri jemputan.
Enam kumpulan yang berjaya mara ke pentas separuh akhir antaranya Sophia Liana, Chubb-E, Shiha Zikir, Waris, Wani Kayrie dan Raja Syahiran pada minggu hadapan.
Pada minggu ini, program Dansa Dan Sin ini dihoskan oleh Hady Mirza bersama Datuk AC Mizal selaku hos jemputan dan disiarkan secara langsung menerusi Astro Ria (104) dan Ria HD (123), setiap Ahad, jam 9.00 malam bermula 5 Januari lalu.