Bekas finalis Dewi Remaja 2018/2019, Faizni Fazreen Fazeera Faizul atau mesra disapa Faz mengakui masih lagi menyanyangi bekas teman lelakinya, Mas Khan yang juga seorang pelakon.
Faz ketika ditemui MH menjelaskan, dia kini sedang cuba untuk baik pulih hubungan yang sudah dibina selama empat tahun.
“Buat masa sekarang, memang saya mahukan dia balik. Andai kata satu hari nanti kami get back (disatukan semula), saya tidak kisah dan saya sanggup untuk terima dia balik kerana jodoh pertemuan itu ketentuan Allah.
“Tapi kalau betul kami berdua memang tidak ada jodoh, saya reda dan secara perlahan-lahan saya move on (meneruskan kehidupan) seperti biasa,” kata Faz.
Kongsi Faz lagi, dia akui pada mulanya agak kekok menjalani kehidupan sebagai seorang yang berstatus solo buat masa ini.
“Kebiasannya, kalau menghadiri mana-mana majlis atau kemana sahaja, kami selalu bersama dan dia juga selalu temankan saya. Tapi sekarang dah pegang status solo, saya kena berdiri atas kaki sendiri pula,
“Sebenarnya rasa kekok sebab kami sudah empat tahun bersama dan hubungan kami tidak panjang, jadi pergi mana-mana saya seorang diri sahaja sekarang ini,” kongsi Faz jujur.
Jika dilihat pada Instgram Faz, dia mempunyai sebab tersendiri kerana masih lagi menyimpan gambar-gambar bersama bekas teman lelakinya itu.
“Saya tidak mahu padam kenangan bersama dengan dia. Kalau betul kami tidak ada jodoh, sekurang-kurangnya saya masih simpan kenangan saya dengan dia,
“Tambahan pula, kami berpisah dengan cara baik. Jadi, saya rasa kalau saya simpan gambar kami bersama, ia tidak menjadi satu masalah,” akur Faz lagi.
Ditanya adakah Faz bersedia untuk menerima jejaka baru dalam hidupnya, Faz menjawab tenang.
“Buat masa sekarang ini, saya tidak mahu hubungan serius dengan siapa-siapa lagi sebab saya pun masih baru (putus cinta), tambahan pula hubungan saya dengan dia sudah empat tahun.
“Sekarang ini saya hanya memberikan fokus kepada pelajaran dan masa depan saya dahulu,” akhiri Faz ketika ditemui di ibu kota bersempena dengan pelancaran produk kosmetik, Pixy.
Foto : Instagram Faz