Pelakon Fauzi Nawawi, 48, menzahirkan rasa syukur apabila dalam tempoh sebulan, dia dikurniakan dua orang cucu.
Menurut Fauzi, dia dikurniakan cucu pertama selepas anak sulung, Nurul Hainil, 26, melahirkan bayi perempuan yang diberi nama Yasmin pada 27 September lalu.
Manalala pada 26 Oktober lalu, aktor ini sekali lagi mendapat berita gembira apabila dikurniakan cucu kedua.
Anak lelakinya juga penyanyi, Fareez bergelar bapa selepas isterinya, Nurwathiqah Abdul Wahab, 23, melahirkan bayi lelaki, Farrel.
Fauzi akui cukup seronok apabila bergelar datuk dan seterusnya menjadikan ahli keluarganya semakin besar.
“Memang teruja sangat sekarang sudah ada dua cucu. Nasihat saya kepada Fareez, anak itu adalah amanah dan menjadi penguat semangat untuk terus maju dan pandang hadapan,” katanya memetik Harian Metro
Terdahulu, Fareez memaklumkan dia sudah bergelar bapa selepas Nurwathiqah melahirkan bayi lelaki pada 26 Oktober lalu menerusi Instagram.